Kiriman pada: Sun, Jan 8th, 2017

Faiz Subri Terima Busana Tradisional Melayu AMM

Kongsi maklumat ini
Tags

Sepang – Calon akhir Anugerah Puskas, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri terus mendapat sokongan apabila menerima sepersalinan lengkap busana tradisional Melayu serta tanjak Mahkota Alam daripada Armada Malaiu Malaysia (AMM), malam tadi.

Busana itu diserahkan oleh Yang Dipertua AMM, Mass Ahmad Kamal dalam satu majlis di Hotel Sama Sama, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini. Mass Ahmad berkata, penyerahan itu sebagai tanda doa seluruh rakyat Malaysia serta sokongan terhadap kesungguhan Mohd Faiz untuk memakai busana tradisional Melayu di persada antarabangsa.

“Kami sudah lama berniat memberikan Mohd Faiz busana ini, jadi sebab itulah kami tunggu dia tiba di Sepang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Faiz yang menghargai pemberian AMM itu berjanji akan membawa persalinan berkenaan bersamanya ke Zurich, Switzerland.

“Sudah tentu saya berbangga kerana ini adalah adat Melayu kita sendiri. Sekarang saya mempunyai tiga pakaian. Saya akan membawa semuanya serta akan cuba pakai semua pakaian ini.

“Namun tidak berjanji akan memakainya (busana) ketika anugerah itu, kalau saya tidak pakai di dewan, mungkin saya akan pakai di hotel.

“Saya juga perlu lihat keadaan cuaca di Zurich kerana dimaklumkan keadaan di sana cuaca sejuk, negatif lapan,” kata Mohd Faiz pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Busana Melayu dari AMM sempena Anugerah Puskas FIFA 2016.

Sebelum ini, Faiz turut menerima suntikan semangat apabila menerima persalinan baju Melayu tradisional daripada Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA).

Baju Melayu itu dilengkapi tengkolok dan samping songket bernilai RM3,000 dan Faiz juga menerima tajaan pakaian suit daripada Kinslager untuk majlis berkenaan hasil usaha dilakukan oleh unit pemasaran Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang.

Mohd Faiz dan isteri, Norzawanis Hashim, 30, bersama dua anak mereka, akan bertolak ke Zurich, Switzerland, jam 10.15 pagi esok untuk menghadiri Anugerah FIFA 2016.

Pemenang bagi anugerah Puskas akan diumumkan pada majlis anjuran FIFA di Zurich pada Isnin.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.