Kiriman pada: Sun, Jan 22nd, 2017

FELDA Tidak Akan Lindungi Sesiapa Jika Disiasat SPRM

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – FELDA tidak ada halangan jika sebarang audit dalaman dilakukan terhadap agensi itu, sekali gus mengundang siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata beliau tidak akan melindungi atau menutup perbuatan mana-mana pegawai dan kakitangan FELDA yang dikesan melakukan kesalahan sepanjang audit dilakukan.

“Kalau audit dijalankan termasuk bagi aktiviti FELDA, kita kena sokong proses itu.

“Kalau sudah audit, sudah nampak tak betul, kenalah siasat oleh SPRM. Saya tidak akan menyekat atau menghentikan proses itu.

“Ini semua bagi memastikan tiada sebarang ketirisan dalam tadbir urus FELDA dan pada masa sama, mengembalikan FELDA kepada peranan asal penubuhannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kami Anak FELDA di FELDA Bukit Batu, Kulai Johor malam tadi.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Besar FELDA (Pembangunan Komuniti FELDA) merangkap Penasihat Pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF), Anuar Malik; Pengerusi KAF, Fakhrurrazi Mohd Habib dan Pengerusi KAF Wilayah Segamat, Rasali Md Yassin.

Dalam perkembangan terbaharu, SPRM menahan Timbalan Pengarah Urusan Iris Corporation Bhd, Datuk Hamdan Mohd Hassan, berhubung dakwaan rasuah membabitkan projek e-pasport Republik Guinea.

Iris Corporation adalah anak syarikat kumpulan FELDA.

Hamdan yang juga pemangku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu ditahan Jumaat lalu kerana penyalahgunaan kuasa dan pembabitan dalam kegiatan rasuah bagi projek berkenaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Shahrir berkata, beliau tidak menghalang siasatan kes berkenaan demi menjaga nama baik FELDA.

Terdahulu, Fakhrurrazi menyarankan KAF diiktiraf sebagai wakil warga FELDA supaya dibenarkan menduduki Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) bagi menyumbang idea serta meningkatkan lagi peranan pertubuhan itu.

Katanya, ketika ini, KAF mempunyai kira-kira 20,000 ahli dan dijangkakan meningkat kepada 30,000 ahli menjelang akhir tahun ini.

KAF, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu, diwujudkan sebagai wadah baharu kepada generasi FELDA berusia 35 tahun ke atas untuk membantu memperkasakan FELDA

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.