Kiriman pada: Thu, Jul 9th, 2015

Fitnah Media Sosial Serius

Kongsi maklumat ini
Tags

bnmxvhmxfASSAM JAWA – Kerajaan persekutuan perlu mempertimbangkan dan meneliti pindaan undang-undang berkaitan fitnah yang disebarkan secara meluas di dalam media sosial.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim menjelaskan, sudah tiba masanya kerajaan memikirkan satu pindaan undang-undang berkaitan fitnah ini yang dianggap satu jenayah serius.

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) wajar meminda beberapa seksyen akta sedia ada supaya hukuman lebih keras dikenakan sebagai pengajaran.

“Ini kerana isu dakwaan laporan dana berkaitan 1MDB sebanyak RM2.6 bilion didakwa disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri cukup memberi kesan terutamanya ketika Ramadan.

“Sebaran sumber maklumat tidak tepat dan berunsurkan fitnah menjejaskan imej negara dan tak mustahil akan memberi kesan kepada ekonomi dan kestabilan rakyat berbilang kaum.

“Saya harap perkara ini dapat diperhalusi sewajarnya kementerian berkaitan dan Jabatan Peguam Negara bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya pada sidang media sempena Program Kembara Sahur LKIM Bersama Nelayan Assam Jawa.

Dalam program itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut mengumumkan LKIM dalam usaha mewujudkan 32 pusat pengumpulan dan pengedaran hasil laut dan ikan air tawar di tujuh negeri.

Katanya, inisiatif itu diambil sebagai salah satu komitmen LKIM memerangi orang tengah dan mengembangkan fungsi 45 kompleks LKIM sedia ada di negara ini.

“LKIM mahu memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi terutamanya menjelang musim tengkujuh mahupun bencana alam dan harga ikan di pasar tani dapat distabilkan.

“Sudah menjadi fokus utama LKIM memastikan peniaga ikan tidak lagi mengambil stok di pasar borong, sebaliknya mendapatkan bekalan di pusat pengumpulan sedia ada.

“Kita dah ada satu pusat pengumpulan dan pengedaran di Bangi dan kini sedang meneliti kesesuaian Kompleks LKIM Kuala Selangor untuk dikembangkan,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.