Kiriman pada: Wed, Jul 15th, 2015

Fitnah Punca Kejatuhan Ekonomi

Kongsi maklumat ini
Tags

hjkcghKUALA LUMPUR – Fitnah dan khabar angin yang tidak terkawal di media sosial mengenai keadaan ekonomi dan politik negara boleh menjadi salah satu punca kejatuhan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir berkata, tuduhan tidak berasas tanpa sumber sahih yang dilakukan oleh pengguna media sosial memberikan imej buruk kepada negara dan akan menyebabkan pelabur asing takut untuk melabur di negara ini.

Katanya, gambaran di media sosial mengenai ketidakstabilan ekonomi dan politik negara akan mengundang tanggapan negatif pelabur asing, sekali gus menurunkan keyakinan mereka untuk melabur.

“Keadaan politik dan ekonomi negara kita sebenarnya stabil, malah Forum Ekonomi Dunia menempatkan kita sebagai negara kelapan paling berkesan dalam menguruskan kewangan secara global bagi tahun 2014-2015, tetapi kewujudan media sosial ditambah pula dengan media asing yang bertindak sebagai ‘batu api’ menjadikan keadaan bertambah buruk.

“Saya percaya kejatuhan ringgit Malaysia akan dipulihkan kerana negara ini terkenal dengan kebangkitan semula ekonomi tetapi saya berharap pengguna media sosial tidak terus melemparkan tuduhan dan fitnah ke atas kerajaan kerana ini boleh mengganggu-gugat kestabilan Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf Al-Quran Digital Kepada Anak-anak Yatim dan Tahfiz di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi Perdasama, Datuk Sohaimi Shahadan; Setiausaha Kerja Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Suhaimi Mohd. Said dan Pengarah Smart Rich Network Sdn. Bhd, Ramli Mazlan.

Perdasama menyumbangkan sebanyak 400 al-Quran digital bernilai RM30,000 kepada anak yatim dan tahfiz melalui Peyatim sebagai aktiviti tanggungjawab sosial mereka tahun ini.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.