Kiriman pada: Thu, Feb 9th, 2017

Flotila Hampiri Yangon, Masih Berunding Dengan Dhaka

Kongsi maklumat ini
Tags

Laut Andaman – Misi flotila kemanusiaan dari Malaysia masih berunding dengan Kerajaan Bangladesh berhubung lokasi untuk berlabuh, sama ada di Teknaf atau tiga lokasi pilihan yang akan ditetapkan Dhaka.

Sehingga jam 12 tengahari waktu Malaysia, kapal Nautical Aliya dengan muatan 2,300 tan bantuan kemanusiaan berada pada kedudukan 82 batu nautika dari pelabuhan Yangon.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh semalam memaklumkan Dhaka tidak membenarkan Nautical Aliya berlabuh di Teknaf ekoran faktor keselamatan navigasi di jeti Teknaf.

Difahamkan, Nautical Aliya terlalu besar dan kedalaman di jeti Teknaf tidak selamat untuk flotila berlabuh.

Sebaliknya, Bangladesh memberi pilihan kepada flotila yang membawa 184 aktivis dan sukarelawan dari 12 negara itu, berlabuh di Chittagong, Pulau St. Martin atau Kutubdia.

Bangladesh juga tidak membenarkan sukarelawan turun ke daratan ekoran faktor keselamatan di kem pelarian etnik Rohingya.

Lebih 60,000 etnik Rohingya melarikan diri dari wilayah Rakhine, Myanmar ke Bangladesh sejak Oktober lalu berikutan operasi tentera Myanmar di Maungdaw.

Bergerak dengan kelajuan 8.9 knot, Nautical Aliya yang diiringi kapal tentera laut Myanmar melepasi Sinclair Shoal di perairan Myanmar jam 10 pagi tadi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.