Kiriman pada: Wed, Feb 8th, 2017

Frost, Chong Wei Perlu Buang Ego

Kongsi maklumat ini
Tags

Putrajaya – Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mahu Datuk Lee Chong Wei dan Morten Frost Hansen mengetepikan ego masing-masing demi kebaikan badminton tanah air.

Norza percaya perselisihan faham antara kedua-dua individu terbabit boleh diselesaikan dengan cara baik.

“Kedua-duanya perlu mengetepikan ego mereka dan meletakkan BAM sebagai keutamaan. Apa yang dicapai badminton Malaysia hari ini adalah disebabkan kedua-dua individu ini.

“Sudah pasti masing-masing ada pendapat yang berbeza tetapi ia seperti memasak yang mana kamu memerlukan resipi yang sempurna.

Begitu juga dengan kehadiran Chong Wei dan Frost yang sangat penting bagi membangunkan sukan badminton negara.

“Frost diberi KPI (Petunjuk Prestasi Utama) untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok tiga kuasa besar dunia menjelang 2020 dan meraih emas pertama pada Olimpik Tokyo 2020.

Chong Wei pula sudah menyatakan kesediaan untuk membantu meningkatkan kualiti badminton negara,” kata Norza ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Musim Sejuk di Sapporo, Jepun di sini, hari ini.

Perang antara Chong Wei dengan Frost bermula selepas pemain nombor satu dunia itu mengalami kecederaan MCL (Medial Collateral Ligament), Sabtu lalu dan menyalahkan BAM kerana tidak menghiraukan aduannya sebelum itu mengenai permukaan gelanggang baharu yang licin di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Kecederaan itu menyaksikan dia terpaksa menarik diri daripada Seluruh England, bulan depan.

Namun, isu utama adalah kelantangan Chong Wei yang mempersoalkan kenyataan Frost yang menyentuh mengenai persaraannya kepada jurulatih perseorangan, Hendrawan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyerahkan kepada BAM untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya sudah menghubungi Chong Wei dan Tan Sri Mohamed Al Amin Majid (Pemangku Presiden BAM) dan meminta perkara ini diselesaikan. Saya harap isu ini boleh diselesaikan,” kata Khairy.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.