Kiriman pada: Sat, Jul 18th, 2015

FTA Malaysia-Turki Berkuat Kuasa 1 Ogos

Kongsi maklumat ini
Tags

MUSTAPA MOHAMED_TPPAKuala Lumpur – Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (MTFTA) akan berkuat kuasa pada 1 Ogos, 2015, demikian diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Negara Turki, dengan populasi seramai 74 juta orang, menawarkan peluang akses pasaran yang besar. Saya menggesa komuniti perniagaan Malaysia memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan di bawah FTA ini, yang juga akan mengukuhkan perdagangan dua hala dan jaringan ekonomi dalam jangka masa panjang,” kata Mustapa dalam kenyataan.

Melalui perjanjian ini, pengeksport dari Malaysia dan Turki akan dapat menikmati akses keutamaan untuk produk di negara masing-masing.

“Kedua-dua negara akan menghapuskan duti import secara kekal ke atas 70 peratus barisan tarif, apabila perjanjian ini dikuatkuasakan. Duti juga akan dikurangkan atau dihapuskan ke atas hampir 86 peratus barisan tarif dalam tempoh lapan tahun akan datang,” katanya.

Pada 2014, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Turki bernilai US$969 juta. Eksport Malaysia ke Turki berjumlah US$752 juta, manakala import sebanyak US$217 juta.

Eksport utama ke Turki terdiri daripada tekstil dan pakaian, kimia dan produk kimia, minyak sawit, barangan buatan logam, produk getah, produk elektrik dan elektronik.

Manakala import dari Turki termasuk tekstil dan pakaian, barangan kejenteraan dan alat ganti, produk besi dan keluli, produk kimia, produk pertanian serta produk elektrik dan elektronik.

Bagi produk strategik lain, termasuk produk besi dan keluli, kedua-dua negara akan menghapuskan duti import secara berperingkat dalam tempoh lapan tahun, bermula dari tarikh kuat kuasa perjanjian tersebut.

Turki juga akan menghapuskan semua duti tambahan kastam sedia ada (dari 20 peratus hingga 30 peratus) ke atas tekstil, pakaian dan kasut, yang melibatkan lebih 1,000 barisan tarif.

Bagi produk berasaskan minyak sawit, Turki menawarkan pengurangan duti secara ‘one-off’ sebanyak 30 peratus daripada kadar duti biasa (0-46.8 peratus).

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.