Kiriman pada: Mon, Jan 23rd, 2017

Gagal TPPA Tidak Bermakna Perdagangan Malaysia ‘Terencat’

Kongsi maklumat ini
Tags

Alor Setar – Kegagalan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dimuktamadkan susulan tindakan Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian itu, tidak bermakna perdagangan Malaysia akan ‘terencat’.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan sebaliknya berkata Malaysia sudah bersedia dengan beberapa alternatif lain, termasuk melalui perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dijangka dimuktamadkan hujung tahun ini.

Jelasnya, RCEP dilihat menjadi alternatif yang menawarkan perdagangan yang menarik kerana walaupun masih baru, namun ia meliputi pasaran pengguna yang lebih besar, dengan China sahaja mempunyai 1.3 bilion penduduk manakala India 1.2 bilion berbanding TPPA yang hanya melibatkan 880 juta penduduk.

“Dalam TPPA, tiada penglibatan India dan China, dalam RCEP mereka (India dan China) ada, jadi kalau kita menumpukan pada RCEP, maka ia tidak bermakna kita kerugian besar akibat kegagalan TPPA,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kilang Zinon Food Industry Sdn Bhd, di sini hari ini.

RCEP melibatkan negara anggota ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand, manakala TPPA merangkumi AS, Jepun, Australia, New Zealand, Chile, Mexico, Kanada, Peru dan empat anggota ASEAN — Malaysia, Singapura, Brunei dan Vietnam.

Ahmad berkata kerajaan juga sedang berusaha untuk mengadakan rundingan dua hala Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan empat daripada 12 negara yang menyertai TPPA sebelum ini.

Empat negara yang belum mempunyai FTA dengan Malaysia ialah Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.

“Sepanjang lima tahun rundingan TPPA dibuat, kita sudah mempunyai hubungan yang cukup baik dengan keempat-empat negara tersebut.

“Kita rasa dalam tempoh dua tahun, kita boleh memuktamadkan FTA tersebut kerana rundingan untuk satu perjanjian perdagangan bebas lazimnya akan mengambil masa setahun dua untuk selesai,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.