Kiriman pada: Thu, Nov 26th, 2015

Gimik UMNO bukan macam ‘Gegar Vaganza’

Kongsi maklumat ini
Tags

umnoKUALA LUMPUR: UMUM mengetahui Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan saban tahun diibaratkan sambutan ‘Hari Raya UMNO’ yang akan menghimpunkan keseluruhan ahli parti untuk bersidang dan membincangkan hal masa depan Melayu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Selama kira-kira seminggu, ibu kota akan dipenuhi totok UMNO yang hadir dari segenap pelosok negara untuk bersama-sama meraikan minggu ‘kasih-sayang’ sesama saudara politik mereka.

Katalah apa sahaja, pada minggu itu, air mata darah dan keris yang dicium adalah demi bangsa Melayu selain hati setiap perwakilan pada saat ini begitu sensitif apabila disentuh atau dicuit mengenai nasib bangsa yang dimomok dengan cerita semakin terhimpit atau tersiksa di bumi sendiri.

Sepanjang minggu itu juga, lagu UMNO menjadi zikir siang sehingga malam yang membasahi bibir semua perwakilan tidak kira dari sayap Wanita, Pemuda atau Puteri sendiri.

Kadang kala zikir itu disulam dengan bait-bait lagu, Anak kecil main api ciptaan bekas Ketua Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Datuk Nordin Kardi yang menjadi ‘kemenyan’ untuk membarakan lagi semangat kecintaan kepada UMNO serta Melayu sendiri.

Bagaimanapun, kenyataan Setiausaha Agung Parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memutuskan supaya perhimpunan parti itu diadakan secara tertutup tanpa liputan media bagi mengelak isu yang dibincangkan diputarbelitkan pihak tertentu seperti pengumuman untuk membatalkan sambutan Hari Raya UMNO tahun ini.

Ia sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi selain menjadi bahan bualan pengamal media yang melihat keputusan itu sangat drastik dan berbeza dengan tradisi kebanyakan pemimpin UMNO yang kebiasaannya mahu dilihat menjadi hero sepanjang minggu Perhimpunan Agung UMNO saban tahun.

Secara umumnya pada minggu Perhimpunan Agung UMNO, pemimpin parti akan berlumba-lumba untuk memberi pelbagai kenyataan media yang menampakkan semangat cinta Melayu serta pembelaan bangsa di muka hadapan akhbar atau tajuk utama di dalam berita utama di televisyen.

Sepanjang minggu Perhimpunan Agung UMNO juga, kepala pemimpin setiap negeri akan berkunjung ke bilik-bilik media dan kebiasaannya membawa makanan popular negeri masing-masing untuk dinikmati bersama sahabat media mereka.

Kegusaran pengamal media terhadap kenyataan Ku Nan sedikit terubat apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan dia sendiri masih belum menerima sebarang pemakluman berhubung Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang bakal diadakan secara tertutup tanpa sebarang liputan media.

Ia dikuatkan lagi dengan kenyataan Ahmad Zahid yang memberitahu perkara itu adalah di luar pengetahuannya dan perlu dirujuk kepada Ku Nan sendiri.

Kenyataan Ku Nan itu sebenarnya seperti menolak laporan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abd Rauf Yusoh yang menyatakan parti sedang mempertimbangkan cadangan menggunakan sistem biometrik dalam mempertingkatkan kawalan media yang membuat liputan pada perhimpunan parti tahun ini.

Ia sekali gus signifikan bagi memastikan hanya media yang telah mendapat kelulusan daripada pihak urusetia UMNO dibenarkan membuat liputan PAU di Dewan Merdeka serta berada di Laman Media, iaitu pusat operasi media sempena perhimpunan itu.

Untuk itu katanya, UMNO sedang mengkaji kaedah-kaeadah yang lebih baik untuk memastikan sistem kawalan ini dapat diperketatkan.

Dalam pada itu, sumber dalaman parti UMNO ketika dihubungi mengakui kemungkinan besar isu perhimpunan parti yang diadakan secara tertutup tanpa liputan media akan ditarik semula dalam masa terdekat selain memberitahu media boleh melapor seperti yang biasa dilakukan saban tahun.

“Jangan risau, dalam sehari dua ini kita akan umumkan semuanya akan seperti biasa. Itu semua gimik sahaja.

“Lagipun persediaan untuk bilik, tag dan kemudahan media semuanya sudah di peringkat akhir untuk diselesaikan,” katanya ringkas.

Sementara itu, rentetan kenyataan Ku Nan yang memberitahu hanya Ahmad Zahid dan seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan membuat sidang media harian untuk memberikan laporan kepada media apa yang berlaku pada hari berkenaan turut menjadi bualan media kebelakangan ini.

Bagaimanapun perbincangan sembang kedai kopi yang pada asalnya tertumpu kepada cerita pengehadan akses media yang dianggap gimik UMNO, Ahmad Zahid atau Hishammuddin yang hanya dibenarkan membuat sidang media kembali serius apabila isu Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dinaikkan.

Rata-rata menyatakan rasa simpati apabila mengetahui peranan Muhyiddin dan Mohd. Shafie yang dinafikan sepenuhnya pada perhimpunan parti tahun ini.

Pastinya keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO terhadap kedua-dua pemimpin kanan parti itu merupakan usaha menyekat suara dua tokoh berkenaan pada perhimpunan kali ini.

Beberapa pengamal media menganggap, apa yang terjadi kepada Muhyiddin dan Mohd. Shafie bukan seperti amaran yang diterima pengacara Gegar Vaganza 2, Nabil Ahmad dan Jihan Muse dalam program realiti televisyen terhangat setiap Ahad.
Ia juga bukan gimik seperti isu penyekatan akses media pada perhimpunan UMNO tahun ini.

Walaupun Nabil dan Jihan ‘diugut’ untuk disingkirkan daripada program tersebut pada konsert minggu kelima selepas lagu mereka yang dipaparkan di skrin pada segmen ‘Ada Lagu Ada Lagi’ ditukar kepada foto Raja Azura (Kak Engku) dan Salih Yaacob, umum tahu ia hanyalah gimik rancangan semata-mata.

Ia tidak akan sama seperti isu Muhyiddin, seorang pemimpin totok Melayu yang akan terkebil-kebil matanya apabila melihat perasmian perhimpunan sayap UMNO disempurnakan oleh ketua sayap masing-masing Disember ini.

Mungkin kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menegaskan perasmian itu tidaklah menjadi sesuatu yang tertulis dalam perlembagaan atau peraturan mesyuarat malahan ia satu konvensyen merupakan satu tindakan melanggar tradisi di mata Muhyiddin atau ia sekadar simbolik transformasi parti yang harus ditelan bekas timbalan perdana menteri itu sendiri.

Atau mungkin Muhyiddin perlu akur dan tidak lagi bercerita tentang dosa atau pahala pada catatan di laman Facebooknya selepas kenyataannya akhir-akhir ini sebenarnya dianggap ‘bermain api’ atau mengguris hati pemimpin lain di dalam parti.

Kita tunggu dan lihat sahaja.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.