Kiriman pada: Wed, Jan 20th, 2016

Guru digesa turun padang tangani murid ponteng

Kongsi maklumat ini
Tags

NEWSKOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Sabah meminta guru di negeri ini mengambil pendekatan proaktif menangani isu murid dan pelajar ponteng menerusi kaedah turun padang. Pengarahnya, Datuk Jame Alip, berkata pendekatan itu membolehkan guru mengenal pasti masalah sebenar dihadapi murid atau pelajar yang sering ponteng, sekali gus memudahkan tindakan selanjutnya yang perlu diambil. Katanya, pendekatan biasa seperti memberikan surat tunjuk sebab kepada murid dan pelajar atau memanggil ibu bapa mereka kurang berkesan dalam menangani isu itu kerana guru tidak dapat melihat keadaan sebenar dihadapi mereka. “Walaupun isu ponteng tidak serius, kita mahu ia ditangani dengan berkesan. Jika ada murid sering ponteng, guru perlu berkunjung ke rumah murid terbabit untuk melihat sendiri keadaannya. “Ia supaya kita tahu apa masalah murid itu yang menyebabkannya sering ponteng. Mungkin dia berdepan masalah keluarga, jadi kita boleh tolong atau cari jalan mengatasinya supaya dia tidak lagi ponteng sekolah,” katanya kepada media selepas menyampaikan Perutusan Awal Tahun 2016 Pengarah Pendidikan Sabah, di sini, hari ini. Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah, Maimunah Suhaibul. Majlis itu dihadiri pengetua, guru besar, ketua sektor dan pegawai pendidikan daerah dari seluruh negeri. Jame berkata, pendekatan itu bukan saja perlu dilaksanakan guru di kawasan luar bandar atau pedalaman, malah di kawasan bandar yang berdepan masalah murid sering ponteng. “Ini sejajar dengan tugas guru yang bukan saja mengajar tetapi melaksanakan tanggungjawab sosial khususnya membantu murid susah atau bermasalah supaya mereka tidak tercicir dalam pelajaran,” katanya. Terdahulu, dalam perutusannya, Jame menggariskan pengurangan kadar ponteng murid di sekolah sebagai antara 12 tumpuan Jabatan Pendidikan Sabah pada tahun ini. Katanya, aspek lain digariskan ialah usaha meningkatkan prestasi peperiksaan awam dengan menetapkan Indeks Pencapaian Utama (KPI) Gred Purata Negeri (GPN) 2.2 dan 65 peratus lulus dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta GPN 4.7 dan 92 peratus lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.