Kiriman pada: Mon, Nov 16th, 2015

Haiwan Ternakan Di LPT2 Boleh Undang Maut – Pengguna

Kongsi maklumat ini
Tags

gdkfKemaman – Pengguna Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah haiwan ternakan yang berkeliaran di situ yang boleh mengundang maut kepada mereka yang melaluinya.

Tinjauan Bernama mendapati haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau berkeliaran dan ada yang memasuki lebuh raya berkenaan terutamanya di sekitar Kemasik, Paka dan Kuala Dungun yang melibatkan kawasan ladang kelapa sawit dan kebun milik masyarakat setempat.

Bagi pengguna tetap lebuh raya itu, Ridzuan Mohamad, 33, yang sering berulang alik dari Bukit Besi ke Kemaman, beliau hampir mengalami kemalangan beberapa bulan lalu apabila seekor lembu melintas di hadapan keretanya secara tiba-tiba.

“Masa itu memang saya agak panik, mujur dapat brek dan mengelak…memang kawasan LPT2 ni banyak lembu yang berkeliaran terutamanya pada waktu malam dan selepas hujan.

“Selepas kejadian itu, saya lebih berhati-hati kalau memandu waktu malam dan selepas hujan kerana waktu inilah haiwan ternakan keluar mencari makan…tapi ada yang masuk hingga ke lebuh raya ini, itu yang sangat bahaya dan boleh mengundang kecelakaan,” katanya kepada Bernama.

Maziron Ibrahim, 30, dari Kijal mempersoalkan bagaimana lembu dan haiwan ternakan lain masih dapat masuk ke LPT2 walaupun lebuh raya itu mempunyai pagar yang memisahkannya dengan kawasan ladang penduduk.

“Mungkin ada pagar yang tak elok dan mungkin juga ada pihak yang tak bertanggungjawab memotong pagar berkenaan hingga ternakan boleh masuk ke lebuh raya ini.

“Perkara ni susah lama berlaku tapi tak ada pemantauan dan tindakan tegas yang diambil pihak berkuasa…saya harap pihak berkuasa mahu pun kerajaan negeri mengambil berat hal ini sebab ianya melibatkan nyawa pengguna LPT2,” katanya.

Bagi Shahirah Shazwan, 26 dari Selangor yang baharu pertama kali menggunakan LPT2, beliau agak terkejut dengan kehadiran haiwan ternakan yang berkeliaran di lebuh raya berkenaan.

“Biasanya lebuh raya adalah kawasan yang paling selamat daripada haiwan ternakan, tapi bila saya datang bercuti ke Terengganu, saya agak terkejut bila tiba-tiba di kiri kanan lebuh raya terdapat haiwan ternakan yang sedang meragut rumput.

“Keadaan ini sangat bahaya dan boleh mengundang kemalangan terutamanya bagi pengguna seperti saya yang memang tak biasa dengan LPT2 ini…jadi, pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Sementara itu, Rosamiza Omar, 46, yang bekerja di Kuala Terengganu menyarankan pemegang konsesi LPT2 menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran di lebuh raya berkenaan.

“Bila pemilik haiwan itu hendak ambil ternakan, pemegang konsesi itu harus kenakan denda kepada mereka. Dari situ, kita boleh tahu siapa tuan empunya haiwan ternakan itu.

“Jika mereka lakukan kesalahan berulang, kenakan denda lebih tinggi dan kalau tiada sesiapa yang datang untuk ambil ternakan mereka dalam tempoh tertentu, maka lelongkan saja ternakan itu,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.