Kiriman pada: Fri, Dec 2nd, 2016

Hanya BN Jamin Kestabilan

Kongsi maklumat ini
Tags

jaminKuala Lumpur – Barisan Nasional (BN) menawarkan kestabilan yang tidak mampu disediakan oleh pembangkang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya, BN telah wujud di negara ini lebih daripada 40 tahun manakala pembangkang telah melancarkan lima pakatan dalam tempoh 26 tahun dan ia tidak pernah kekal lebih daripada dua pilihan raya umum.

“Pada pilihan raya umum akan datang, pengundi akan dihidangkan dengan dua pilihan sama ada UMNO diketuai BN atau Pakatan Harapan pimpinan DAP. Ini adalah realiti yang dihadapi oleh pengundi seperti diperjelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pengundi perlu menimbang apa yang BN boleh menawarkan berbanding apa yang boleh ditawarkan oleh Pakatan Harapan,” katanya dalam blog beliau di http://sskeruak.blogspot.my/.

Salleh, yang juga Bendahari UMNO, berkata pada Pilihan Raya Umum 2013, UMNO muncul sebagai rakan dominan dalam parti pemerintah BN manakala DAP dalam pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat.

Beliau berkata dengan terkuburnya Pakatan Rakyat dan penubuhan Pakatan Harapan dan juga PAS tidak lagi menjadi sekutu DAP maka DAP boleh dikatakan menguasai jalinan pembangkang.

“Pada 2013, UMNO memenangi 88 kerusi Parlimen manakala DAP menang 38 kerusi, sekali gus menjadikan DAP sebagai parti politik kedua terbesar di Malaysia.

“DAP juga mendakwa ia mendapat sokongan 85 hingga 90 peratus pengundi Cina, di mana tiada parti politik lain boleh mendabik dada,” katanya.

Hari ini, Najib berkata pilihan raya umum ke-14 adalah persoalan pilihan sama ada memilih sebuah kerajaan diterajui UMNO atau kerajaan pimpinan DAP.

Dalam ucapan dasar Najib sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, presiden UMNO itu berkata rakyat Malaysia terutama orang Melayu dan Bumiputera kini berada di persimpangan paling kritikal dalam sejarah politik di negara ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.