Kiriman pada: Fri, Jul 24th, 2015

Harapan Baru Agenda DAP Singkirkan Pas

Kongsi maklumat ini
Tags

fgzdfhzdSHAH ALAM – Usaha DAP menyingkirkan Pas dari pentadbiran kerajaan Selangor membuahkan hasil apabila tiga wakil rakyat Pas bertindak melompat parti dengan menyertai Gerakan Harapan Baru.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, pembentukan Harapan Baru ialah agenda menguburkan Pas khususnya di Selangor.

“Pas akan berkubur selepas kebangkitan Harapan Baru, sebab itulah tiga wakil rakyat Pas sertai parti baharu. Ini sebenarnya desakan DAP juga.

“Jadi kata dua DAP agar PKR tidak bekerjasama dengan Pas nampaknya membuahkan hasil,” katanya.

Menurut beliau, posisi Pas dalam kerajaan negeri bergantung kepada pendirian Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan PKR sendiri sama ada berhasrat meneruskan kerjasama ataupun tidak dengan Pas.

“Namun saya rasa apabila ketiga-tiga wakil rakyat Pas keluar parti dan menyertai Harapan Baru secara automatik kerjasama antara PKR dan Pas akan berakhir secara kasarnya.

“Manakala sekali gus wakil-wakil rakyat Pas yang memegang jawatan dalam pentadbiran Selangor akan digugurkan,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan Azmin selaku menteri besar tidak tergugat walaupun PR berpecah sekiranya beliau masih mendapat sokongan majoriti mudah daripada gabungan PKR,DAP dan Harapan Baru malah pilihan raya negeri juga tidak perlu dilaksanakan.

“Senario itu mungkin berlaku kerana setakat ini PKR, DAP dan Harapan Baru sudah mempunyai 31 kerusi melebihu 29 kerusi untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

“Sekiranya sokongan kurang daripada majoriti mudah, beliau perlu mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membubarkan Dun dan bergantung kepada titah baginda untuk pembubaran dewan dan pilihan raya negeri terletak dibawah kuasa Sultan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari UUM, Dr Azizuddin Mohd Sani menegaskan bahawa Pas sukar dikuburkan namun Harapan Baru bakal melemahkan Pas.

“Saya rasa menteri besar akan berbaik dengan semua parti pembangkang asalkan bukan BN demi kestabilan Kerajaan Selangor.

“Azmin hanya akan sokong Harapan Baru sekiranya ramai Adun dan Ahli Parlimen menyertai parti baharu itu dan rasakan sokongan terhadap Pas tidak lagi relevan di Selangor. Beliau masih berdiam diri kerana bimbang kerajaan negeri goyah,” katanya.

Ketua Kluster Tadbir Urus, Undang-undang dan Pentadbiran Awam Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood turut memberikan reaksi sama bahawa Harapan Baru belum mendapat sambutan akar umbi Pas secara keseluruhannya, kepimpinan Pas sekarang masih utuh dan sukar digugat.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.