Kiriman pada: Fri, Aug 28th, 2015

Hargai nikmat kemerdekaan

Kongsi maklumat ini
Tags

Merdeka-2015Menikmati kemerdekaan adalah impian hidup setiap rakyat bagi negara yang dijajah British. Kemerdekaan tidak ternilai nikmatnya kerana ia memberi peluang kepada sesebuah negara menentukan hala tuju dan masa depan. Kemerdekaan negara ini dikongsi oleh tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India serta lain-lain etnik di Sabah dan Sarawak. Pelbagai suka duka dilalui rakyat negara ini sehingga kita menikmati pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai lapangan. Kemajuan negara bukan sahaja sumbangan besar kepemimpinan negara, malah pelbagai lapisan masyarakat atau rakyat bekerja keras dalam memastikan kehidupan kita berubah. Pelbagai dasar membabitkan aspek sosioekonomi dilaksanakan kerajaan demi menjamin rakyat menikmati keselesaan dalam mengharungi perjalanan hidup. Walaupun ia dinikmati bangsa Melayu, bangsa lain juga mendapat limpahan nikmatnya. Bumi Malaysia sungguh bertuah buat pelbagai bangsa hasil tadbir urus negara sekian lama yang mementingkan kestabilan politik dan ekonomi. Benar kita sudah merdeka daripada penjajahan. Namun, adakah kita benar-benar merdeka dalam erti kata sebenar-benarnya. Penjajahan pemikiran oleh Barat dilihat menjadi kebimbangan yang tidak sedikit. Lihat sahaja anak-anak muda kita yang menjulang kehidupan berorientasikan hedonisme, merempit, merokok, menghisap dadah, berpelesiran tanpa tujuan, meminum air daun ketum, berdemonstrasi, membuang bayi, lari dari rumah, krisis identiti, tidak menghormati guru dan pelbagai ragam lagi yang membimbangkan. Leka dibuai mimpi Generasi hari ini adalah pewaris hari esok. Pihak berkuasa serta ahli keluarga menghadapi senario ini saban waktu. Kita juga berdepan fenomena limpahan jutaan pendatang asing yang tidak terkawal lagi. Mereka berjuang bermati-matian untuk memijak dan mencari rezeki di negara kita. Pelbagai gejala yang seakan boleh menghancurkan masa depan negara ini tidak mencerminkan kemerdekaan dalam konteks moral dan tata susila. Natijahnya, kita bukan sahaja dijajah pemikiran, dan perjalanan hidup. Namun, kebanyakan daripada kita masih leka dibuai mimpi. Kerajaan menjayakan pelbagai dasar yang dizahirkan demi survival rakyat. Dasar Ekonomi Baru, Rancangan Malaysia, serta pelbagai pelan pembangunan dan transformasi bukan sahaja membantu bangsa Melayu, malah limpahannya dinikmati pelbagai bangsa lain. Terlalu banyak kenangan suka duka kita ukirkan demi kelangsungan kehidupan sehingga ada yang berjaya menjadi insan kaya raya dan terkenal di mata dunia. Jika berlaku sesuatu terhadap tanah air kita, ke mana kita akan pergi. Kita sayangkan negara ini. Di tanah air ini, kita dapat bertemu insan-insan tersayang tanpa sebarang halangan. Inilah tanah tumpah darah dan kelahiran kita. Hidup meniti cabaran pasti didepankan ujian yang kadang-kadang tidak kita jangka. Realiti suasana politik yang tidak menentu menuntut kita merenung risiko dan implikasinya. Laut mana tidak bergelora, pantai mana tidak dilanda ombak. Rakyat prihatin Kejadian banjir, gempa bumi, tanah runtuh, tsunami, dan ribut antara bencana alam yang melanda rakyat negara ini. Kita menghadapinya dengan kesedihan, kebingungan, dan bangkit saling membantu. Ia mencerminkan keprihatinan rakyat sebuah negara bukan sahaja rakyat senegara malah melangkau sempadan. Kedukaan negara lain menerima musibah itu juga, rakyat negara ini tampil membantu tidak sedikit. Kisah dahsyat konflik di Palestin dan peperangan insan seagama di Asia Barat harus menjadi iktibar kepada kita betapa konflik dan peperangan akan berakhir dengan tragiknya kehilangan insan tersayang. Hari ini kita masih memiliki kuasa untuk menentukan masa depan negara. Namun, hari esok belum tentu cerah jika kita leka dan tidak berfikir secara penuh keinsafan terhadap nasib anak cucu kita. Negara kini menghadapi konflik dan krisis dalaman yang sungguh menyedihkan. Alangkah baiknya seluruh rakyat negara ini berdoa agar Malaysia terlindung daripada malapetaka krisis yang boleh meruntuhkan keamanan. Kita bersyukur, hari ini kita boleh bangun pagi dengan tenang, berpakaian cantik, berkereta ke pejabat, bekerja dengan selesa, petang pulang bertemu insan tersayang. Keselamatan dan kedaulatan negara dijaga pihak berkuasa. Apa akan jadi kepada rakyat negara ini dua puluh tahun lagi atau menjelang tahun 2020? Ironisnya, semua akan terjawab bila tiba waktunya nanti. Semoga kemerdekaan yang dimiliki tidak tergadai.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.