Kiriman pada: Thu, Aug 27th, 2015

Hari Kebangsaan untuk hayati semangat cintakan negara

Kongsi maklumat ini
Tags

NATIONAL DAY_MERDEKAKUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak menyeru rakyat Malaysia supaya menghayati pengertian sebenar Hari Kebangsaan, iaitu mengenai semangat cintakan negara dan bukannya tentang sama ada seseorang itu menyokong kerajaan atau pembangkang.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu bersatu atas semangat perpaduan walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan fahaman politik.

“Kita mungkin tidak sependapat dalam politik tetapi di situlah percanggahan pendapat kita harus berakhir. Kita tidak harus melebarkan lagi jurang perselisihan dan mewujudkan dua kelompok rakyat Malaysia.

“Kita kata kita rakyat Malaysia. Kita kata kita setia kepada negara kita. Kita kata kita sedia berkorban untuk negara. Tetapi kita tidak bersedia untuk mengorbankan perbezaan politik hanya untuk sehari demi bersama-sama sebagai rakyat Malaysia yang bersatu,” kata Mohd Salleh menerusi catatannya dalam laman blognya sskeruak.blogspot.com pada Rabu.

Menurutnya dalam sukan, rakyat Malaysia nampaknya boleh mengenepikan perbezaan etnik atas nama nasionalisme dan dapat mendukung semangat Malaysia, dan ia adalah semangat sama yang didukung bagi menyambut Hari Kebangsaan.

“Kita dapat bersatu sebagai rakyat Malaysia dan tidak berpecah menerusi sambutan berasingan mengikut agama, bangsa atau kecenderungan politik.

“Tetapi, malangnya sekarang keadaan telah berubah. Boleh tak hanya untuk sehari, kita ketepikan perbezaan politik dan bersatu sebagai rakyat Malaysia?,”soal beliau.

Sehubungan itu, Mohd Salleh menyeru rakyat supaya mengembalikan semangat Hari Kebangsaan seperti sebelum ini, dan tidak menjadikan sambutan itu sebagai platform politik.

Ini kerana sambutan Hari Kebangsaan berkisar kepada semangat cintakan negara dan bukannya membenci satu sama lain hanya kerana perbezaan politik, jelas beliau.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.