Kiriman pada: Fri, Apr 10th, 2015

Hasut rakyat jatuhkan kerajaan masih kesalahan

Kongsi maklumat ini
Tags

NAJIB TUN RAZAK / SOAL JAWABKUALA LUMPUR: Perbuatan menghasut rakyat untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara tunjuk perasaan adalah satu kesalahan di bawah pindaan Akta Hasutan, kata Datuk Seri Najib Razak. Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan sedang meminda akta itu untuk memansuhkan peruntukan larangan mengkritik kerajaan, ia tidak bermakna pihak tertentu boleh melakukan tindakan menghasut dan menimbulkan rasa kebencian dalam kalangan rakyat. “Kritik kerajaan bukan bererti mereka boleh menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan melalui tunjuk perasaan umpamanya. Itu salah. Tapi kalau dia kata tukar kerajaan waktu pilihan raya, itu tidak salah. “Jadi inilah yang nak diamalkan dalam negara kita dalam sistem demokrasi yang sihat dan bertanggungjawab. Sebab saya sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab saya adalah menjaga keamanan dan keselamatan negara kita,” katanya dalam temu bual menerusi program Soal Jawab TV3 Edisi Khas Bersama Perdana Menteri, yang disiarkan malam tadi.
Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, membentangkan Rang Undang-Undang Hasutan (Pindaan) 2015 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat. Pindaan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi lebih terbuka dan dengan itu, membolehkan orang awam bebas memberikan maklum balas atau kritikan terhadap kerajaan untuk mewujudkan suatu pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab. Perdana Menteri berkata, walaupun larangan mengkritik kerajaan dimansuhkan menerusi pindaan itu, ia tidak bererti peruntukan yang terkandung di dalamnya yang mentakrifkan kesalahan menghasut dikeluarkan sama. Beliau berkata, dalam negara yang berbilang kaum dan agama, perlu ada undang-undang yang menyekat dan membanteras kenyataan, berita dan tulisan yang boleh disifatkan menghasut dan menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat. “Kalau dulu misalnya kita boleh dakwa mana-mana pihak yang mengkritik kerajaan sebab ada peruntukan dalam Akta Hasutan yang sedia ada. Dalam pindaan Akta Hasutan ini, kita mansuhkan (peruntukan itu). Mereka (pembangkang) boleh kritik kerajaan,” katanya. Beliau turut menafikan akta itu diguna untuk memerangkap pemimpin dan anggota parti pembangkang yang mengkritik kerajaan. Najib menjelaskan, akta berkenaan bertujuan mengelak tindakan mana-mana pihak mengeksploitasi isu sensitif berkaitan agama dan kaum yang menghasut dan menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat. “Kesudahannya (akan) berlaku rusuhan kaum, (rusuhan) antara agama dan sebagainya. Siapa yang akan menderita? Rakyat yang akan menderita. Negara rosak. Jadi inilah yang kita mahu elakkan,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.