Kiriman pada: Tue, Dec 20th, 2016

Henti Tuding Jari Kepada Kerajaan Pusat

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Tindakan Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok, menyalahkan Kerajaan Pusat dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam isu gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang menjelang sambutan Krismas, Ahad ini, dibidas kerana masalah itu sebenarnya berpunca daripada pentadbiran kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), dalam kenyataan hari ini, menegaskan Teresa Kok sepatutnya sedar pengurusan air secara sepenuhnya kini di bawah pentadbiran kerajaan Selangor selepas pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada 15 Oktober lalu.

Menurut kenyataan itu, rekod menunjukkan TNB sudah meminta kerja-kerja senggaraan dijalankan lebih awal sejak setahun lalu.

Namun, kerja-kerja yang dijadualkan pada September 2016 dianjakkan ke awal bulan ini atas permintaan Kumpulan Air Selangor (Air Selangor) dan SYABAS berikutan pemotongan air tidak berjadual berpunca daripada paip pecah dan pencemaran air.

Pada mesyuarat 31 Oktober lalu, kerja-kerja senggaraan TNB sekali lagi ditunda ke 16 Disember atas permintaan Air Selangor dan SYABAS.

“Ia adalah tanggungjawab SYABAS dan mana-mana infrastruktur kritikal untuk memiliki penjana kuasa sokongan sendiri dan pelan kontingensi jika berlaku gangguan elektrik berjadual atau luar jangka, sebagai contohnya jika berlaku kerosakan kabel atau sebagainya bagi memastikan operasi tidak terganggu,” menurut kenyataan itu.

Pasukan Komunikasi Strategik BN menyatakan, SYABAS sepatutnya dipertanggungjawabkan atas kegagalan menyediakan pelan kontingensi untuk menangani isu air walaupun menyedari kerja senggaraan itu perlu dilakukan segera.

Menurutnya, SYABAS turut menjelaskan penjana mereka tidak mencukupi untuk menampung loji sendiri, sekali gus menunjukkan kegagalan syarikat air itu dalam menyediakan penjana tenaga sokongan.

“Atas sebab-sebab yang hanya diketahui mereka, walaupun menyedari keperluan TNB sejak lebih setahun selain penundaan sebanyak dua kali, SYABAS tidak mengambil inisiatif untuk mendapatkan set penjanaan kuasa yang mencukupi sama ada mendapatkan yang baharu atau melalui sewaan,” katanya.

Menurutnya, Teresa Kok seharusnya sedar bahawa Azmin mengakui keputusan menetapkan tarikh senggaraan pada 16 Disember diputuskan kerajaan negeri.

“Teresa Kok perlu menerima hakikat dan berhenti menyalahkan TNB atau kerajaan BN atau mengaitkan kerja-kerja senggaraan ini dengan isu agama.

“Jika beliau masih berkeras untuk meletakkan kesalahan ke atas mana-mana pihak, beliau dinasihatkan menyoal Menteri Besar Selangor,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Teresa mendakwa TNB perlu bertanggungjawab kerana mengambil keputusan yang salah dan tidak bertimbang rasa hingga mengakibatkan gangguan bekalan air di Kuala Lumpur dan Selangor mulai hari ini sehingga malam Krismas.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.