Kiriman pada: Wed, Aug 5th, 2015

Hentikan Spekulasi, Tuduhan Terhadap Najib

Kongsi maklumat ini
Tags

kyfckjlKOTA KINABALU – Semua pihak perlu menghentikan spekulasi dan tuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana politik sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya.

Menggesa demikian Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, ini berikutan pendedahan bahawa dana berkenaan adalah sumbangan penderma dan bukan dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan hal tersebut dan ini dengan sendirinya menjawab tuduhan kononnya Najib berniat jahat.

“Hari ini SPRM mendapati duit itu berasal dari penderma. Spekulasi yang mengatakan duit itu dari 1MDB dan wang rakyat dirompak telah terjawab.

“Soal siapa penderma duit itu dan sebab-sebab ia dimasukkan ke akaun perdana menteri boleh diselesaikan kemudian,” katanya.

Abdul Rahman bercakap kepada pemberita pada majlis jalinan mesra dan sambutan Aidilfitri anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah di Teluk Sepanggar.

Mengenai sama ada identiti penderma RM2.6 bilion itu akan didedahkan, beliau berkata itu terpulang kepada perdana menteri.

“Sepertimana saya katakan sebelum ini, tiada undang-undang negara yang melarang sesiapa menderma kepada parti politik yang disokong,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berpendapat adalah lebih baik sumbangan dana politik diberikan terus kepada presiden parti berbanding kepada orang yang tidak diketahui.

Pada majlis itu, Abdul Rahman turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM163,000 kepada balu mendiang anggota bomba Apolos Jeremos yang terkorban semasa bertugas memadamkan api di Sandakan bulan lalu.

Selain itu, Abdul Rahman turut mengumumkan bahawa Apolos akan dinaikkan pangkat daripada KB17 kepada Pegawai Kanan Bomba (KB22).

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.