Kiriman pada: Thu, Jan 26th, 2017

Hubungan Dua Hala Malaysia, Indonesia Pada Tahap Paling Cemerlang

Kongsi maklumat ini
Tags

Putrajaya – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia pada masa ini berada pada tahap paling cemerlang dan luar biasa dengan pendekatan menyelesaikan isu melalui perbincangan.

Katanya Malaysia komited untuk terus mempertingkatkan hubungan dua hala yang terjalin dan sedia bekerjasama dengan Indonesia yang sedang berkempen untuk mendapatkan kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

“Kerjasama Malaysia dan Indonesia akan terus dipertingkat demi kebaikan kedua-dua negara dan ASEAN secara umum,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat perpisahan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas mengenai pertemuannya bersama Herman, Ahmad Zahid berkata beliau menzahirkan rasa puas hati kerajaan Malaysia dengan tahap hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia serta menyifatkan Indonesia sebagai jiran yang penting.

Katanya kerajaan Malaysia juga menghargai peranan Herman dalam memastikan maklumat mengenai Malaysia dilaporkan dengan tepat oleh media Indonesia bagi mengelak sebarang kontroversi dan perselisihan faham antara kedua-dua buah negara.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata dalam usaha membanteras kumpulan militan Daesh di rantau ini, Malaysia, Indonesia dan Filipina sudah mewujudkan kerjasama tiga pihak untuk membanteras pengganas, bakal pengganas yang mendapat latihan dan golongan yang bersimpati (dengan pengganas).

Sementara itu, Herman berkata Indonesia serius dalam memastikan kebakaran hutan tidak berlaku pada tahun ini supaya Malaysia tidak menghadapi masalah jerebu.

Katanya Presiden Joko Widodo dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini meminta supaya semua pihak bersiap siaga untuk mengawal masalah kebakaran hutan pada tahun ini.

“Mudah-mudahan Indonesia tidak meminjam lagi pesawat Bombardier Malaysia (untuk memadamkan kebakaran hutan) dan Malaysia aman daripada jerebu dari Indonesia pada tahun ini,” katanya.

Mengenai tenaga kerja Indonesia di Malaysia, Herman mencadangkan satu mekanisme dibentuk supaya semua pekerja Indonesia dapat bekerja secara sah di negara ini.

“Pada masa yang sama, majikan di Malaysia juga jangan mengambil pekerja Indonesia yang tidak sah,” katanya.

Berkongsi pengalaman manis sepanjang empat tahun berkhidmat di Malaysia, Herman berkata antaranya apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Indonesia sebanyak empat kali dan Presiden Joko Widodo turut melawat Malaysia sebanyak empat kali.

Herman akan menamatkan tugas pada 31 Jan dan digantikan oleh anggota Dewan Penasihat Presiden, Rusdi Kirana yang juga pemilik syarikat penerbangan tambang murah Lion Air.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.