Kiriman pada: Fri, Aug 28th, 2015

Ikon Negara Terajui Ikrar Hari Kebangsaan 2015

Kongsi maklumat ini
Tags

jjhvKuala Lumpur – Segmen bacaan ikrar sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 buat pertama kalinya menampilkan beberapa individu yang cemerlang dalam bidang masing-masing untuk menerajui bacaan itu.

Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Istiadat dan Protokol, Jabatan Perdana Menteri, Mohd Hanafiah Mokhtar, berkata antara yang terbabit adalah Ikon Belia Negara Muhammad Zhariff Affandi, atlet wushu negara Diana Bong Siong Lin, malim Gunung Kinabalu Mohd Rizuan Kauhinin dan pengacara serta juruhebah Fara Fauzana.

“Jika sebelum ini, yang membaca ikrar biasanya mengikut jumlah tahun ke berapa kemerdekaan, contohnya kemerdekaan ke-57, jadi 57 orang yang akan membacakan ikrar, tetapi tahun ini ada kelainan,” katanya selepas menghadiri acara raptai Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka, di sini.

Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2015 akan disertai kira-kira 10,000 peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, anggota pasukan keselamatan serta pelajar sekolah.

Tema ‘Sehati Sejiwa’ dipilih sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

Bagi pengacara sambutan Hari Kebangsaan 2015, Saifulkhairi Ahmad yang berpengalaman mengacarakan sambutan Hari Kebangsaan sejak beberapa tahun lalu, pemilihan individu yang berjaya dalam bidang masing-masing itu, diharap dapat memberikan inspirasi kepada golongan remaja dan seluruh masyarakat.

“Setelah sekian lama pembaca ikrar pada sambutan Hari Kebangsaan biasanya pelajar sekolah dan ada sesekali guru, tetapi kali ini kita tampilkan ikon-ikon ini,” kata Saifulkhairi yang juga Penolong Pengarah Bahagian Pengukuhan Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Sementara itu Diana, 30, ketika ditemui berkata beliau terharu apabila dipilih sebagai atlet pertama yang membaca ikrar untuk Hari Kebangsaan 2015.

“Ia adalah pengiktirafan terhadap wushu dan bidang sukan secara keseluruhannya. Ini kerana kita lihat rakyat Malaysia tidak begitu cenderung terhadap bidang sukan,” katanya.

Mohd Rizuan, 26, turut mengakui teruja diberi peluang untuk bersama-sama membacakan ikrar di hadapan pemimpin negara dan rakyat Malaysia yang menyertai acara itu.

“Jika sebelum ini saya sibuk dengan kerja sebagai malim gunung, kali ini saya berpeluang mewakili malim gunung yang lain untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara,” katanya yang terbabit dalam operasi menyelamat mangsa di Gunung Kinabalu, akibat gempa bumi di Ranau, Sabah berukuran 5.9 magnitud, 5 Jun lalu.

Gambar yang menunjukkan beliau memikul seorang kanak-kanak lelaki dari Singapura menuruni Gunung Kinabalu, sebelum ini menjadi viral di laman sosial.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.