Kiriman pada: Thu, Dec 15th, 2016

India Yakin Malaysia Mampu Capai Status Negara Maju

Kongsi maklumat ini
Tags

Perdana Menteri India Narendra Modi berkata rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah mengemudi Malaysia dengan baik ke arah mencapai status negara maju.

Katanya, di bawah kepimpinan Najib, Malaysia mempamerkan kebingkasannya dalam menangani cabaran ekonomi global.

“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Najib, Malaysia menuju ke arah matlamatnya untuk mencapai status negara maju menjelang 2020,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Pemimpin Perniagaan Asia melalui sidang video di sini hari ini.

Modi berkata hakikat bahawa Malaysia menjadi hos acara itu menjadi bukti tentang betapa pentingnya kedudukan negara Asia Tenggara dengan penduduk lebih 30 juta orang ini sebagai destinasi komersial dan perniagaan terpilih.

Najib menghadiri perhimpunan itu di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Modi juga menyambut baik hubungan yang terjalin sejak sekian lama antara New Delhi dan Kuala Lumpur, yang menurutnya, memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Hubungan rapat dengan Malaysia ini sangat penting bagi kejayaan Dasar Pandang Ke Timur kami,” katanya, merujuk kepada langkah India menjadikan hubungannya dengan jirannya di Asia Timur sebagai keutamaan dalam dasar luar negara itu.

Pemimpin India itu juga menyentuh tentang Torana Gate di ‘Little India’, Brickfields di sini yang menjadi simbol persahabatan antara Malaysia dan India.

Modi memberitahu perhimpunan itu bahawa ‘hubungan abadi’ antara kedua-dua negara itu diperkukuhkan lagi dengan kehadiran anggota masyarakat India Malaysia yang besar jumlahnya.

Perhimpunan dua hari yang julung kali diadakan itu menjadi platform terbesar bagi para pemimpin dan birokrat Asia untuk berkumpul dan mengadakan perbicangan tentang Asia sebagai hab perniagaan serta peranan pemimpin perniagaan yang sedang muncul.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.