Kiriman pada: Tue, Mar 24th, 2015

Industri Kreatif Tempatan Jana Pendapatan Tinggi Untuk Negara

Kongsi maklumat ini
Tags

jailani-johariKuala Lumpur – Industri kreatif tempatan menjana pendapatan RM556 juta bagi 2012 hingga 2014 menerusi pelbagai program, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan memperuntuk RM118 juta untuk Dana Industri Kreatif Negara (DIKN) bagi membangunkan industri kreatif tempatan supaya mampu bersaing dan lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

Melalui DIKN, pelbagai program muzik dilaksanakan termasuk penerbitan video muzik dan album muzik bercirikan etnik kontemporari.

“Projek ini melibatkan syarikat rakaman dan artis yang membuat permohonan dengan 10 lagu perlu dicipta pemuzik tempatan dan bercirikan etnik komptempori dan diselitkan unsur-unsur tradisional.

“Berdasarkan rekod, jumlah keseluruhan geran yang disalurkan untuk projek ini ialah RM2.78 juta,” katanya ketika sesi soal jawab.

Kementerian juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk merancakkan aktiviti penghasilan kandungan kreatif tempatan.

Sehingga 31 Dis lepas, kerajaan meluluskan RM67.1 juta daripada dana RM100 juta SKMM untuk membangunkan 128 buah projek.

“Setakat ini, sebanyak 55 projek kandungan kreatif yang terdiri daripada penghasilan animasi, dokumentari, aplikasi mudah alih, permainan dalam talian dan e-book disiapkan,” katanya.

Program pemasaran kandungan tempatan di pasaran antarabangsa pula mencapai hasil jualan sebanyak RM417.9 juta dari tahun 2011 hingga 2014.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM145 juta direkodkan bagi 2014 dengan pasaran International Markets of Communication Programmes yang menyumbang hasil tertinggi,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.