Kiriman pada: Mon, Jan 23rd, 2017

Inisiatif Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan Dilancar

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Beberapa individu terdiri daripada ahli akademik, peguam dan aktivis melancarkan inisiatif menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan.

Kumpulan dikenali sebagai Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan (RMP) itu melancarkan inisiatif itu bagi mengatasi beberapa masalah yang timbul dipercayai kerana Rukun Negara dipinggirkan dan diketepikan.

Pengerusi RMP, Dr Chandra Muzaffar, berkata Rukun Negara perlu dikaitkan dengan Perlembagaan bagi membolehkannya dirujuk sebagai garis panduan dalam penggubalan dasar dan undang-undang negara.

Katanya, Rukun Negara kini lebih relevan walaupun dihasilkan hampir 47 tahun lalu kerana munculnya sikap dan amalan yang bertentangan dengan prinsip dan cita-cita Rukun Negara ketika ini.

“Rukun Negara tidak dapat memainkan peranannya kerana ia telah diketepi dan dipinggirkan menyebabkan kecenderungan eksklusif, dangkal dan bertentangan dengan perpaduan masyarakat serta keutuhan negara muncul ketika ini.

“Kecenderungan ini bersandarkan tafsiran sempit undang-undang dan peraturan agama tertentu yang menjejaskan keindahan agama itu.

“Sekiranya kecenderungan ini lebih berpengaruh pada masa depan, karakter dan keperibadian negara kita akan berubah sama sekali,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rukun Negara Sebagai Mukadimah Perlembagaan di Institut Integriti Malaysia di sini, hari ini.

Selain Chandra, individu lain yang menggerakkan inisiatif RMP adalah Pakar Perlembagaan, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Tan Chong Tin; peguam, Firdaus Husni serta aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir dan Zainah Anwar.

Chandra berkata, pihaknya akan mengumpulkan tanda tangan rakyat Malaysia yang menyokong inisiatif itu dalam tempoh tiga bulan sehingga 30 April depan, sebelum permohonan RMP itu dipersembahkan kepada persidangan Majlis Raja-Raja.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/238489

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.