Kiriman pada: Wed, Dec 16th, 2015

Islamofobia serlah sikap perkauman rakyat Amerika

Kongsi maklumat ini
Tags

tramp16.transformedBARU-baru ini, calon Presiden bagi parti Republikan, Donald Trump mengeluarkan satu kenyataan yang sangat kontroversi, iaitu beliau akan menghalang orang Islam dari memasuki Amerika Syarikat (AS) sekiranya menjadi presiden. Reaksi Trump adalah berkaitan dengan ancaman pejuang Negara Islam (IS) di Asia Barat dan ada usaha untuk membawa sebahagian pelarian Syria memasuki AS. Sikap Trump ini sebenarnya bukanlah baru kerana beliau sebenarnya membawa agenda anti imigrasi sebelum ini seperti kenyataannya untuk membina tembok memisahkan AS dan Mexico bagi menghalang pendatang asing dari Mexico memasuki AS. Trump bukanlah sebenarnya ahli politik, beliau hanyalah ahli perniagaan yang berjaya. Untuk menjadikannya calon presiden bagi parti Republikan, beliau seharusnya mendapatkan sokongan anggota parti Republikan yang terkenal membawa agenda sayap kanan yang konservatif. Sentimen perkauman tarik sokongan Sentimen perkauman dan keagamaan mampu menarik sokongan warga AS yang konservatif menyokong calon yang memperjuangkan agenda itu. Dengan membawa misi anti-Muslim and antiimigrasi, Trump bukan berjaya menjadikan dirinya popular, malah memperluaskan lagi sikap Islamofobia dan Xenophobia dalam kalangan warga AS. Dalam satu kajian oleh Bloomberg, 37 peratus warga AS bersetuju dengan pandangan Trump untuk menghalang orang Islam memasuki AS. Namun, 50 peratus pula tidak bersetuju. Dalam kalangan penyokong parti Republikan pula, 65 peratus menyokong pandangan Trump dan 22 peratus menentang. Bagi penyokong parti Demokrat pula 75 peratus menentang saranan Trump, di samping 18 peratus menyokong. Berdasarkan kajian ini jelas bahawa rakyat AS berbelah bahagi terhadap sokongan mereka kepada kenyataan Trump yang berasaskan juga sokongan mereka ke atas sesebuah parti politik. Tinjauan pendapat yang dilakukan agensi berita CBS News/New York Times mendapati bahawa Trump masih mendahului lawannya dari parti Republikan dengan 35 peratus. Cabaran terdekat ialah dari Ted Cruz dengan 15 peratus undi. Seorang lagi calon pilihan Marco Rubio yang mendapat sokongan gerakan Tea Party hanya memperoleh sembilan peratus. Namun, kedudukan sekarang tidak menjamin Trump akan memenangi pemilihan parti Republikan. Pemilihan hanya akan diadakan pada 9 Februari 2016. Jejas hubungan dunia Islam, Barat Tempoh berkempen masih panjang dan macam-macam boleh berlaku di sepanjang tempoh itu. Yang jelas, pandangan Trump tadi tidak sihat dalam memupuk kerjasama antara dunia Islam dan Barat. Malah, tidak adil dalam mengiyakan satu stereotaip menjelaskan bahawa Muslim mestilah pengganas. Sikap Trump boleh diagak bukanlah baru kerana sikap penduduk AS sebenarnya masih tidak luput daripada sikap perkauman mereka. Ini jelas daripada tinjauan The New York Times bertajuk ‘The Rise of Hate Search’ yang diterbitkan pada 12 Disember 2015 lalu mendapati bahawa sikap kebencian berasaskan kaum dan agama sedang meningkat di AS. Misalnya, beberapa jam selepas berita jenayah tembakan rambang di San Bernardino, California pada 2 Disember lalu tersebar yang mengidentifikasikan bahawa salah seorang penembak adalah seorang yang mempunyai nama Muslim, ramai warga California menyeru melalui media sosial untuk membunuh semua Muslim. Tiba-tiba di dalam ruang pencarian Google di AS mendapati bahawa perkataan ‘kill Muslims’ (bunuh Muslim) memperoleh hasil pencarian yang tertinggi. Persoalannya di sini ialah kenapa harus mengaitkan insiden di San Bernardino sebagai jenayah keganasan yang dilakukan Muslim, walhal isu sebenar yang melanda AS kini ialah isu kawalan persenjataan. Penjualan senjata api di AS kini berada pada tahap luar kawalan, menyebabkan banyak berlakunya kejadian jenayah tembakan rambang. Mengikut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS, pada tahun 2014 sebanyak 1,092 jenayah perkauman dilaporkan. Namun, 16.3 peratus daripadanya adalah jenayah yang berkaitan dengan anti-Muslim. Selebihnya, 58.2 peratus adalah jenayah berkaitan anti semitisme. Namun, pada November 2015 sahaja, melalui pencarian Google, 3,600 pencarian di AS yang menyebut ‘I hate Muslims’ (Saya benci Muslim) dan 2,400 pencarian menyebut ‘kill Muslims’ (bunuh Muslim). Jenayah anti-Muslim meningkat Pihak FBI bimbang sekiranya kecenderungan sikap benci pada Muslim dan Islam ini meningkat di AS dan ini digalakkan lagi dengan seruan daripada tokoh yang terkenal seperti Donald Trump, jenayah anti-Muslim akan meningkat juga di AS. Yang jelas, sebelum ini orang kulit hitam dilihat sebagai simbol pemisahan kaum di AS. Pada Perang Dingin, orang Komunis juga dilihat sebagai simbol kebencian penduduk AS. Yang jelas, pada abad ke-21 ini, agama Islam dan Muslim dilihat sebagai ancaman dan simbol perkauman yang baru bagi penduduk AS. Yang pasti, AS masih belum keluar daripada sikap perkauman mereka yang dipolitikkan bagi membela agenda tertentu. Yang dibimbangi ialah peningkatan sentimen Islamofobia akan menjadikan AS tempat yang tidak selamat untuk dilawati oleh Muslim di seluruh dunia.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.