Kiriman pada: Sun, Feb 12th, 2017

Isteri Wakil Rakyat BN Bantu Kerajaan Bela Nasib Rakyat

Kongsi maklumat ini
Tags

Alor Setar – Datuk Seri Najib Razak yakin peranan golongan isteri wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mampu terus diperkasa, terutama dalam membantu kerajaan menjaga soal kebajikan rakyat.

Perdana Menteri berkata, sumbangan dan peranan dimainkan isteri wakil rakyat melalui badan amal yang disertai sememangnya sentiasa diperlukan dan diiktiraf apabila ada dalam kalangan mereka dilantik sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Antara sumbangan badan amal (disertai isteri wakil rakyat BN) adalah untuk memberi tumpuan kepada kerja kebajikan di negeri masing-masing seperti bantu rakyat yang memerlukan waktu ditimpa musibah, banjir, kebakaran, bantu orang susah dan juga OKU (orang kurang upaya).

“Itulah yang saya nak kekalkan supaya usaha kita sedikit sebanyak adalah satu cara untuk merakyatkan…supaya boleh kita papar wajah dan air muka yang sentiasa prihatin kepada masyarakat….itu yang saya inginkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis makan malam sempena penutupan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat BN SeMalaysia di Dewan Seri Negeri, di sini, sebentar tadi.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan piala pusingan kejohanan kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) yang diwakili Yang Dipertuanya, Datin Seri Rosmah Mansor, yang dinobat sebagai juara keseluruhan Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Perdana Menteri dalam menjelaskan peranan besar isteri wakil rakyat BN, turut merujuk kepada Perak dan Sarawak yang memiliki merit kepercayaan untuk diangkat sebagai wakil rakyat.

“Ini bukan cara automatik atau dasar….tetapi Datin Mastura (Datin Mastura Mohd Yazid) bertanding di Parlimen Kuala Kangsar selepas dilantik atas dasar merit dan menang lebih besar…begitu juga di (Dewan Undangan Negeri) Tanjung Datu ketika ini, Puan Sri Jamilah Anu, juga dilantik atas dasar merit.

“Ini bukti waktu suami mereka jadi wakil rakyat, mereka bantu sama sehingga rakyat senang hati…maka dia layak untuk dilantik, sekali gus kuota wanita untuk jadi wakil rakyat juga bertambah,” katanya.

Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat BN SeMalaysia berlangsung lima hari berakhir hari ini, dengan 14 kontinjen mewakili badan amal isteri wakil rakyat BN dari setiap negeri terbabit dengan penyertaan keseluruhan 570 atlet.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.