Kiriman pada: Wed, Dec 21st, 2016

Isu air: Jamal bertuala ke SUK Selangor

Kongsi maklumat ini
Tags

Shah Alam – Pengerusi Gerakan Merah, Datuk Seri Jamal Yunos, hadir ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, dengan memakai tuala sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri berkaitan isu gangguan bekalan air.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, turut membawa gayung, berus gigi dan alatan mandian lain.

Bagaimanapun, beliau yang tiba di pintu utama bangunan itu jam 9.40 pagi tadi, dihalang daripada memasuki pusat pentadbiran kerajaan Selangor itu.

“Saya hanya mahu menumpang mandi di bilik pejabat MB (Menteri Besar). Jika tidak boleh, benarkan saya mandi di tandas bawah saja.

“Jika mahu saya bayar, saya akan bayar. Saya pergi surau, masjid tapi semua tiada air,” katanya.

Sementara itu, pengawal keselamatan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menegaskan pihaknya tidak dapat membenarkan Jamal masuk ke pekarangan pejabat pentadbiran negeri atas dasar keselamatan.

Berikutan itu, pintu pagar utama ke bangunan pentadbiran itu ditutup menyebabkan orang awam yang mahu berurusan juga terhalang daripada masuk ke bangunan berkenaan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.