Kiriman pada: Thu, Nov 3rd, 2016

Isu Kepentingan Anak Muda Fokus Kembara Mahasiswa Nasional 2016

Kongsi maklumat ini
Tags

kembaraKuala Lumpur – Kembara Mahasiswa Nasional 2016 yang bakal bermula Jumaat ini akan mengumpul input berkaitan masalah dihadapi anak muda terutamanya di peringkat akar umbi dari seluruh negara.

Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah berkata input berkenaan akan dibentangkan semasa Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2016 (Pemanas 4.0) yang bermula dari 24 hingga 26 Nov ini.

“Selain melakukan aktiviti bercorak citarasa anak muda, akan ada kumpulan penyelidik di setiap kawasan yang membuat temuramah dan soal selidik mengenai apa-apa sahaja isu penting melibatkan anak-anak muda.

“Dapatan daripada hasil kajian itu akan dibincangkan semasa persidangan Pemanas 4.0 sebelum membuat satu resolusi yang kemudiannya akan diangkat kepada kerajaan bagi penambahbaikan untuk dilaksanakan pada masa depan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ibrahim berkata program kembara itu akan membabitkan 10,000 mahasiswa daripada 39 universiti awam dan swasta dengan 14 kawasan parlimen terpilih seluruh negara termasuk di Sabah.

Katanya, sebahagian program itu akan disambung semula selepas Perhimpunan Agung UMNO 2016 dan dijadual berakhir 26 Dis.

“Kita anggarkan seramai 250 mahasiswa dari unversiti terdekat dengan setiap parlimen masing-masing melibatkan diri dalam kembara ini,” katanya.

Ibrahim berkata pada masa sama pihaknya akan menggiatkan pendaftaran pengundi khususnya pengundi muda sepanjang program itu sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Kembara Mahasiswa Nasional 2016 dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 Ogos lalu di Seri Perdana, Putrajaya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.