Kiriman pada: Mon, Feb 6th, 2017

Jackie Chan Menangis Dipertemukan Dengan Rakan Aksi

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Video Jackie Chan menangis sebaik saja dipertemukan dengan kumpulan pelagak ngerinya selepas 40 tahun kini sudah ditonton hampir 9 juta kali sejak dikongsi di laman sosial, Isnin lalu.

Kesyahduan bintang filem aksi Hong Kong yang mencipta nama di Hollywood itu membuatkan pengacara segmen penghargaan berkenaan dan penonton di studio turut menitiskan air mata.

Bersandarkan rakaman, Chan tidak sedar kru produksi program TV itu membawa masuk semua anggota terawal JC Stunt Team yang diasaskannya pada 1977 ketika ucapan mereka ditunjukkan di skrin.

Sepanjang tayangan, riak wajahnya menampakkan perasaan sayu dan gembira yang bercampur baur apabila luahan hati seorang demi seorang rakan lamanya dipertontonkan.

Ketika beliau leka mengikuti video terbabit, pengacara kemudian bertanya sama ada dirinya merindui mereka yang pernah bersamanya melakukan aksi lagak ngeri dulu.

“Sudah 40 tahun kami kekal bersama dalam keadaan susah dan senang, selain mengalami pelbagai kecederaan, retak tulang, terseliuh, malah kadangkala terpaksa dikejarkan ke hospital pada jam 5 atau 6 pagi.

“Semua kesusahan itu tidak diketahui di hadapan layar. Sehinggalah saya menerima anugerah Oscar, baru-baru ini, kemenangan itu adalah milik bersama JC Stunt Team yang kini sudah memasuki generasi ketujuh.

“Seperti yang anda lihat kami kini semakin berusia,” katanya sambil menoleh ke belakang dan sebaik saja nampak wajah-wajah dikenali, air matanya terus tumpah.

Mereka berpelukan sekali gus mencetuskan detik yang mengharukan, membuatkan penonton di studio terus bangun memberikan tepukan selain sama-sama menitiskan air mata.

Difahamkan, klip berdurasi 10 minit itu ialah sebahagian daripada program TV istimewa untuk menghargai Chan selaku penerima trofi Penghargaan Khas Oscar pada Anugerah Governors di Los Angeles, November tahun lalu.

Sebagai aktor dari Asia, jasa Chan sepanjang 56 tahun mengabdikan diri dalam industri perfileman hingga dihormati ke peringkat antarabangsa tentu saja menjadi kebanggaan ramai.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.