Kiriman pada: Sat, Jan 21st, 2017

Jackie Chan Rahsiakan Pembedahan

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Bintang aksi tersohor Hong Kong, Datuk Jackie Chan, 63, mengakui terpaksa merahsiakan pembedahan besar yang dijalaninya di London daripada pengetahuan ahli keluarganya kerana bimbang mereka terkejut.

Katanya, pertemuan dengan doktor selepas mengalami sakit pada perut ketika penggambaran filem Kung Fu Yoga tanpa disangka berakhir di dewan pembedahan selama lima jam.

“Tujuan saya bertemu dengan doktor pakar hanya untuk melakukan pemeriksaan, namun saya dinasihatkan melakukan pembedahan segera disebabkan luka pada usus kerana melakukan aksi lasak.

“Saya hanya memaklumkan perkara itu kepada isteri dan anak, Jaycee selepas beberapa hari disebabkan tidak mahu mereka bimbang.

Hanya enam orang yang tahu saya dimasukkan ke dewan pembedahan. “Sepatutnya pembedahan itu mengambil masa 45 minit tetapi berlanjutan selama lima jam hingga pembantu saya menangis. Apa pun semuanya sudah selamat, ” katanya di sini, hari ini.

Pelakon yang mengukuhkan nama di Hollywood itu diterbangkan ke Kuala Lumpur sempena promosi filem Kung Fu Yoga yang ditayangkan di negara ini bermula pada 27 Januari.

Hadir sama pada majlis sidang media yang diadakan di sebuah hotel itu, pengarahnya, Stanley Tong dan dua lagi bakat baharu dari India, Disha Patani serta Amyra Dastur.

Menyentuh mengenai tahap kesihatannya ketika ini, Chan mengakui sudah lali berdepan kecederaan sepanjang 56 tahun bergiat dalam dunia lakonan malah menganggap setiap cabaran memberinya pengalaman baharu.

“Ramai terkejut kerana sehari selepas pembedahan saya kembali ke Iceland untuk menyambung penggambaran Kung Fu Yoga. Mujur segala-galanya berjalan lancar,” katanya.

Selepas sidang media, barisan pelakon filem itu turut menjayakan sesi bertemu peminat di pusat beli belah Pavilion Kuala Lumpur disusuli tayangan Malam Gala di GSC Pavilion, mereka kemudiannya meneruskan sesi bertemu penonton di 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor pada jam 8 malam ini.

Kung Fu Yoga yang mengambil latar di Iceland, Dubai dan India berkisar mengenai pengembaraan pakar arkeologi mencari harta karun peninggalan keturunan Maharaja India di Iceland.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.