Kiriman pada: Sat, Feb 4th, 2017

Jaga Perpaduan Dan Keharmonian Negara

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perpaduan dan keharmonian kaum perlu diperkasakan untuk Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman dan makmur.

Menggunakan analogi pokok damar minyak yang ditanamnya di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada 2004, Najib berkata pokok itu dijaga dan dibaja dengan baik sehingga menjadi sebatang pokok yang besar dan kukuh.

“Jangan sekali-kali kita tebang pokok yang kita dah tanam ini, sebab kalau kita tebang, bagi anai-anai makan, pokok rebah dan tumbang, kita tidak ada tempat berteduh (dan keadaan itu akan) menjadikan Malaysia sebuah negara yang gagal,” katanya.

Datuk Seri Najib berkata demikian ketika merasmikan sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia di FRIM.

Beliau berkata Malaysia pada hari ini, merupakan sebuah negara berbilang kaum dan agama yang bebas mengamalkan fahaman masing-masing berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri berkata sekalipun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa agama Islam ialah agama rasmi persekutuan, namun penganut agama lain boleh mengamalkan anutan mereka dengan aman dan damai.

Tambahnya, sekalipun Malaysia penuh dengan kepelbagaian dan kemajmukan kaum dan agama yang mungkin terlalu kompleks berbanding negara lain, namun asas perpaduan dan keharmonian itulah yang terus meletakkan Malaysia kekal aman dan makmur.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.