Kiriman pada: Wed, Jul 30th, 2014
Semasa | Oleh

Jakim Tidak Lantik Pihak Ketiga Untuk Pensijilan Halal

Kongsi maklumat ini
Tags

JakimKuala Lumpur – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) tidak pernah melantik atau mengiktiraf mana-mana pihak ketiga untuk menjalankan aktiviti pensijilan halal serta konsultasi pensijilan halal.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata sebarang permohonan sijil halal sama ada untuk produk atau premis perniagaan mesti dibuat oleh peniaga sendiri dan hanya Jakim layak mengeluarkan sijil itu.

“Kita dapati ada pihak yang mendekati peniaga atau syarikat dan mengaku sebagai pihak ketiga yang dilantik Jakim atau Jain, dan ini tidak betul.

Perlu diingat setiap pemohon bagi sijil halal mesti datang sendiri ke pejabat Jakim atau Jain. Jangan percaya pihak ketiga yang mungkin menipu termasuk dari segi bayaran permohanan,” katanya.

Hakimah berkata pihak tidak bertanggungjawab itu antara lain memperdaya peniaga dan syarikat dengan menyatakan kononnya bayaran permohonan sijil halal Jakim atau Jain mahal berbanding kadar yang dikenakan mereka.

Hakimah berkata bayaran yang dikenakan untuk kategori produk ialah RM200 bagi industri kecil, RM800 bagi perusahaan kecil dan sederhana, dan RM1,400 bagi syarikat multinasional.

“Ini tidak mahal sebab pemohon boleh kemukakan seberapa banyak produk yang mereka mahu pengesahan halal dalam setiap permohonan,” katanya.

Bayaran RM200 pula dikenakan bagi permohonan dari premis makanan atau restoran.

Bagaimanapun, Hakimah berkata sijil halal yang dikeluarkan adalah sah untuk tempoh dua tahun tetapi tiada pemulangan bayaran dibuat kepada mana-mana peniaga atau syarikat yang gagal dalam permohonan mereka.

Mengenai pengirim

-

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.