Kiriman pada: Mon, Feb 6th, 2017

Jangan Ambil Kesempatan Atas Pelancong

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Peniaga dan penjaja di Jalan Alor, Bukit Bintang di sini dinasihatkan agar tidak mengambil kesempatan terhadap pelancong asing yang berkunjung ke kawasan itu dengan menaikkan harga barangan jualan mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ini bagi memastikan peniaga di kawasan itu tidak mengalami nasib seperti perniagaan di Petaling Street yang kurang menerima pengunjung.

“Saya harap peniaga tidak mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga yang tinggi terhadap pelancong demi menjaga imej negara dan Jalan Alor itu sendiri.

“Hal ini kerana kita mahukan pelancong ulang datang ke sini lagi pada masa akan datang.

Mereka adalah duta kecil negara kita apabila pulang ke negara asal mereka,” katanya selepas merasmikan Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Bukit Bintang, di sini, malam ini.

Turut hadir timbalannya Datuk Dr Loga Bala Mohan; Datuk Bandar, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Adnan Md Ikshan.

Tengku Adnan mengharapkan program anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan itu dapat mengukuhkan hubungan akrab dan meningkatkan semangat kebersamaan antara masyarakat pelbagai kaum.

Acara yang dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan tarian singa dan muzik jalanan itu dikunjungi lebih 3,000 warga kota termasuk pelancong asing.

Bersempena program itu, turut diadakan aktiviti gotong-royong kebersihan dan cegah denggi bersama komuniti Bukit Bintang yang bertemakan ‘Bebas Denggi Masyarakat Ceria’ bagi membangkitkan kesedaran masyarakat tentang bahaya ancaman nyamuk aedes.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.