Kiriman pada: Thu, Jul 16th, 2015

Jangan biar elemen luar jejas perpaduan rakyat Sarawak

Kongsi maklumat ini
Tags

kchcm0606KUCHING: Masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak tidak harus membiarkan elemen luar yang datang dalam pelbagai bentuk, memecah-belahkan perpaduan yang sedia terjalin di negeri ini sejak sekian lama. Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, menegaskan rakyat Sarawak sudah lama mengamalkan semangat `susah bersama, gembira bersama’ untuk menempa kejayaan besar dalam hubungan antara kaum dan ia tidak harus dicemari oleh kewujudan pihak yang cuba mewujudkan puak tertentu dalam masyarakat. Beliau berkata, rakyat harus menyedari sejarah sudah membuktikan, Sarawak mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang sejak semangat kesatuan menjadi pegangan, tanpa mengira agama dan kaum.

“Tiada untungnya kita berpecah-belah dan mementingkan diri atau puak sendiri dan tiada gunanya kita membawa elemen luaran yang boleh memecah-belahkan kita. “Sebagai rakyat Sarawak, kita yang lebih tahu dan faham apa yang kita mahukan untuk negeri yang sedang kita bangunkan ini,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Aidilfitri 2015. Adenan berkata, sepanjang sebulan Ramadan membuktikan hubungan antara kaum di Sarawak berada di tahap terbaik apabila masyarakat tanpa mengira agama tidak kekok bersama-sama dengan umat Islam berbuka puasa bersama di masjid atau surau serta bersama-sama meraikan Aidilfitri. “Semuanya dialu-alukan atas nama kesatuan rakyat Sarawak yang mengatasi segala-galanya. Bila tiba Hari Raya, maka sewajarnya ia kita raikan bersama tanpa perlu bersikap eksklusif. “Sikap inklusif dalam merayakan hari perayaan adalah rahsia kestabilan Sarawak selama ini dan inilah benteng yang mesti kita pertahankan bersama,” katanya. Dalam perutusan itu, beliau turut mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk terus memberi perhatian kepada usaha bagi mengurangkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar. Beliau berkata, tambahan RM500 juta kepada bajet negeri 2015 yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada April lalu akan dimanfaatkan untuk melaksanakan pelbagai projek prasarana dan kemudahan di kawasan luar bandar demi faedah dan keselesaan penduduk yang berada jauh dari pusat bandar. Selain itu, beliau turut yakin Lebuh Raya Pan Borneo yang dilancarkan pembinaannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Mac lalu akan membuka lambaran baharu dalam sejarah pembangunan Sarawak. “Kita sudah menunggu pembinaan jalan raya bertaraf lebuh raya sepanjang lebih 1,000 kilometer yang akan menghubungkan Sematan hingga Lawas itu sejak lebih 50 tahun lalu. “Projek berfasa dengan kos lebih RM10 bilion ini bukan sahaja berfungsi sebagai alat penghubung tetapi juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di sepanjang lebuh raya ini nanti yang dijangka siap pada tahun 2023,” katanya. Dalam menjaga kepentingan rakyat, Adenan berkata, kerajaan negeri pimpinannya bertekad untuk menghapuskan pembalakan haram yang menyebabkan kehilangan pendapatan pada negeri dan merosakkan alam sekitar. “Sehubungan itu, kerajaan negeri tidak lagi memberi permit untuk mengeluarkan balak dari hutan dan permit untuk membangunkan ladang kelapa sawit besar-besaran di tanah kerajaan sebagai langkah untuk memelihara hutan kita. “Dalam tempoh setahun lebih saya diberi amanah menjadi Ketua Menteri, banyak langkah diambil untuk kepentingan dan keselesaan rakyat. Saya yakin banyak lagi langkah yang boleh dilakukan untuk membantu meringankan beban rakyat jika diberi peluang lagi untuk memimpin negeri ini pada masa depan,” katanya. Pada penghujung perutusan itu, beliau turut mempelawa orang ramai untuk menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjurannya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada hari pertama dan hari kedua Aidilfitri. Adenan yang terkenal dengan ucapan bersahaja dan kelakar turut menyelit serangkap pantun dalam bahasa Melayu Sarawak, yang menjemput orang ramai menghadiri majlis rumah terbukanya sebagai penutup perutusan itu. Datanglah ngabas saya, Iboh malu-malu, Iboh protokol gilak, Asal baju kacak jak Pantun itu bermaksud, “Silalah datang mengunjungi rumah terbuka saya, jangan malu-malu, tidaklah perlu mengikut protokol, asalkan pakaian cantik dan kemas sahaja”.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.