Kiriman pada: Mon, Dec 12th, 2016

Jangan Cetus Kekacauan, Gugat Kestabilan

Kongsi maklumat ini
Tags

Klang – Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu kelompok yang berselindung di sebalik nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhenti melakukan perbuatan yang boleh mencetus kekacauan dan menggugat kestabilan dan keselamatan negara.

Sultan Selangor itu bertitah tindak-tanduk seumpama itu perlu dihentikan tanpa sebarang kompromi bagi memberi keyakinan rakyat, pelabur dari luar Negara dan pelancong asing.

“Beta dapat lihat adanya kelompok yang berselindung di sebalik nama NGO yang cuba menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

“Adalah menjadi hasrat beta untuk melihat rakyat Selangor yang berbilang kaum ini terus menyemarakkan semangat setia kawan, bertolak ansur serta saling menghormati, khususnya dalam aspek perkauman, keagamaan dan ideologi politik,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Penganugerahan serta Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-71 Sultan Selangor di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Ia menyaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dikurnia Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati.

Sultan Selangor turut menghargai atlet negara dengan menganugerahkan Darjah Kebesaran Ahli Kegemilangan Sukan Selangor kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2016 Muhammad Ziyad Zolkefli; atlet boling veteran Shalin Zulkifli; pelumba basikal Mohd Rizal Tisin; gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi; dan atlet terjun Chew Yiwei.

Dalam pada itu, Sultan Selangor menasihatkan barisan kepimpinan negeri mengambil iktibar daripada keruntuhan kerajaan di waktu silam kerana kepimpinan yang lemah akhlak, lemah iman dan amalan serta gagal membendung amalan rasuah.

Baginda khuatir bencana akan melanda Selangor jika nilai amanah dalam masyarakat semakin menurun, lebih-lebih lagi dalam kalangan pemimpin yang menyalahgunakan kuasa dan kedudukan selain terlibat dengan penyelewengan dan amalan rasuah.

Sultan Selangor seterusnya bertitah isu sensitif berkaitan agama dan kepercayaan sesuatu kaum harus ditangani dengan bijaksana bagi mengelak salah faham serta menjejaskan keharmonian kaum.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.