Kiriman pada: Tue, Mar 31st, 2015

Jangan jadi mangsa peniaga tamak

Kongsi maklumat ini
Tags

gst_tracker_pic1Kira-kira 48 jam lagi, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu akan dilaksanakan, menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sekali gus bermulanya era baharu dalam sistem percukaian negara.

Sama ada suka atau tidak, mulai lusa, GST akan menjadi sebahagian daripada hidup kita. Walaupun pelbagai penjelasan dan jaminan dibuat oleh kerajaan betapa baiknya GST untuk negara dan rakyat berbanding sistem cukai sekarang, masih ramai yang keliru.

Sejak kelmarin misalnya, pasar raya dan premis menjual keperluan harian menerima kunjungan bagaikan menjelang musim perayaan kerana orang ramai yang percaya harga barang akan naik ekoran pelaksanaan GST, mahu menyimpan stok.
Dakyah keliru

Kekeliruan seperti ini memang dijangkakan, apalagi budaya baharu di negara ini sekarang ialah mempolitikkan setiap dasar kerajaan. Kehadiran media sosial yang bebas dan cepat menyebarkan apa saja pandangan termasuk pembohongan, menambah kekeliruan itu.

Hakikat bahawa 6 peratus GST berbanding kadar cukai jualan dan perkhidmatan setinggi 16 peratus, tidak diberi perhatian. Begitu juga kelemahan ketara dalam SST seperti kesan cukai berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai terhadap barangan yang dieksport dan isu pindahan harga.

Jika GST benar-benar membebankan rakyat, bagaimana mungkin 160 negara sudah melaksanakannya. Malah dalam kalangan negara ASEAN, hanya Brunei Darus-salam dan Myanmar yang belum melaksanakannya. Bagaimanapun, berbanding negara lain, kadar GST sebanyak 6 peratus di Malaysia adalah yang terendah.

Perkara yang jelas, ekonomi di negara yang mengamalkan GST lebih stabil. Singapura sudah menikmati kesan positif GST, manakala pertumbuhan ekonomi Indonesia dan Vietnam sudah mengatasi Malaysia sejak mereka menukar sistem percukaian masing-masing.

Dengan kejatuhan harga minyak dunia dan kesannya amat dirasai negara, pelaksanaan GST tepat pada waktunya bagi memperluas dan mempertingkatkan lagi sumber pendapatan. Kerajaan tidak lagi boleh bergantung selamanya kepada dividen petroleum daripada PETRONAS.

Sebaik manapun GST, tempoh beberapa bulan pelaksanaan amat penting dalam memberi keyakinan kepada rakyat bahawa apa yang dilaksanakan kerajaan itu benar-benar menguntungkan mereka dan negara.

Memang akan wujud masalah dan rungutan tetapi jika ia ditangani secara bijak dan berkesan, rakyat akan menerima perubahan ini. Oleh itu, tugas penguatkuasaan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada perubahan ini, amat penting.

Manfaatkan hak

Langkah beberapa agensi kerajaan yang terbabit seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPD-NKK) membuka bilik gerakan khusus bagi memantau pelaksanaan GST, harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita sebagai pengguna.

Seperti parti pembangkang mempolitikkan GST untuk kepentingan mereka, begitu juga dengan segelintir peniaga yang sedar laba mereka akan berkurangan dengan pelaksanaan sistem cukai baharu ini.

Di sinilah pentingnya peranan kita sebagai rakyat dan pengguna bagi memastikan tidak selamanya menjadi mangsa politik dan ketamakan.

Sementara dakyah pembangkang akan berakhir apabila GST berjaya, peniaga yang tamak akan sentiasa cuba menipu.

Hanya kita sebagai pengguna boleh mengajar peniaga sedemikian. Sebagai permulaan, memeriksa dan bertanya sebarang kemusykilan dalam resit pembelian/bayaran, harus dijadikan budaya baharu seiring dengan pelaksanaan GST.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda
  1. […] Jika GST benar-benar membebankan rakyat, bagaimana mungkin 160 negara sudah melaksanakannya. Malah dalam kalangan negara ASEAN, hanya Brunei Darus-salam dan Myanmar yang belum melaksanakannya. Bagaimanapun, berbanding negara lain, kadar …read more […]

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.