Kiriman pada: Sun, Nov 27th, 2016

Jangan Mudah Termakan Dengan Janji Populis

Kongsi maklumat ini
Tags

populisPutrajaya – Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menasihatkan golongan mahasiswa agar jangan mudah termakan dengan sogokan janji-janji populis yang menjanjikan pelbagai perubahan.

Beliau berkata pendapat atau ketidakpuasan hati mereka tentang sesuatu perkara harus diluahkan ke saluran yang betul.

Malah, katanya, jika ada idea yang perlu dikembangkan dan disampaikan kepada pemimpin maka ia harus dikemukakan dengan penuh berhemah sesuai dengan amalan demokrasi negara ini.

“Adalah menjadi harapan saya agar anda terus menyampaikan idea-idea segar, input-input kreatif dan kritis, pandangan serta harapan terhadap UMNO yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) agar parti ini terus kekal relevan dan menjadi sandaran rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis jamuan malam dan ramah mesra bersama wakil Kelab UMNO Luar Negara (KULN) dan perwakilan Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana di sini, malam ini.

Majlis, yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 minggu depan, disertai 200 wakil KULN dan 350 perwakilan Pemanas.

Hadir sama Timbalan Menteri Luar merangkap Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara, Datuk Seri Reezal Merican Merican dan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Tan Sri Ibrahim Abu Shah.

Rosmah juga mengingatkan para mahasiswa agar tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif yang boleh menyekat dalam proses pencarian dan pemantapan ilmu.

Beliau berkata mahasiswa harus bijak dan berkebolehan membuat perhitungan sebelum bertindak dengan menilai baik dan buruk berdasarkan pertimbangan ilmu dan pengalaman yang dilalui.

“Jika benar-benar minat dalam politik dan soal kepimpinan, seharusnya wacana politik seorang mahasiwa itu berakar umbi kepada masyarakat, seperti memartabatkan pendidikan serta membina ummah yang lebih berintegriti, bersatu padu dan jangan sesekali lupa menyemai perasan hormat kepada pemimpin,” katanya.

Rosmah berharap sinergi antara perwakilan Pemanas dan ahli KULN dan pucuk pimpinan UMNO yang dibina akan berterusan dan diteruskan pada masa akan datang untuk memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.