Kiriman pada: Tue, Jan 10th, 2017

Jangan Politikkan Pelantikan Shahrir

Kongsi maklumat ini
Tags

Putrajaya – Pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai pengerusi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) adalah proses biasa dalam mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tidak wajar dipolitikkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Razali Ibrahim, menafikan bahawa pelantikan itu ada kaitan dengan dakwaan rasuah dalam FELDA, seperi mana didakwa sesetengah pihak termasuk ahli politik pembangkang.

“Dakwaan pihak luar mengatakan pertukaran ini adalah suatu hukuman terhadap bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, kononnya kerana masalah kewangan ketika beliau menerajui GLC ini, adalah tidak benar sama sekali.

“Malah, pelantikan Isa sebagai Pengerusi Global Ventures Holdings Bhd (FGV) selepas tamat tempoh perkhidmatan sebagai pengerusi FELDA adalah pengiktirafan kepada kejayaan beliau menerajui GLC itu.

“Pelantikan baharu ini akan memperkukuhkan peranan FELDA bagi terus meningkat program kebajikan dan sosio ekonomi untuk manfaat peneroka serta mencari peluang perniagaan baharu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini hari ini.

Tambah Razali, selaras dengan hasrat untuk memperkasa dan memantapkan FELDA, pihak kerajaan yakin pengalaman luas Shahrir dalam pentadbiran kerajaan termasuk memegang jawatan menteri di tiga kementerian sebelum ini, akan banyak membantu pembangunan GLC terbabit.

Pada 7 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pelantikan Shahrir menggantikan Isa, yang menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi FELDA pada 31 Disember 2016.

Shahrir, yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sejak 2008 hingga 2013 dan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dari 2004 hingga 2008, yang bertanggungjawab mengaudit ketelusan badan-badan kerajaan.

Razali berkata, majlis penerangan berkaitan perancangan FELDA akan diteruskan dan diperluaskan ke semua rancangan FELDA supaya peneroka dapat menerima maklumat yang betul serta tidak mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang ingin menjatuhkan GLC itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Isa di atas sumbangan beliau menerajui FELDA selama ini terutama dalam menjayakan pelbagai kegiatan kemasyarakatan dan meningkat mutu hidup peneroka,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.