Kiriman pada: Sun, Nov 13th, 2016

Jangan Terpedaya Dengan “Drama Politik Pembangkang

Kongsi maklumat ini
Tags

liowtionglaiKuala Lumpur – Masyarakat Cina digesa tidak terpedaya dengan “drama” politik pembangkang kerana mereka tidak mempunyai pendirian yang kukuh dalam pelbagai isu, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata pembangkang kini telah berpecah belah apabila masing-masing menyatakan pendirian berbeza dalam pelbagai perkara.

“Sebelum ini hanya ada PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP dalam pakatan pembangkang, tetapi sekarang sudah ada Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Mereka sudah tiada pendirian… Jika dahulu DAP meminta rakyat menyokong PAS bagi dua PRU yang lalu tetapi sekarang mereka mengutuk PAS (seperti) dalam Konvensyen Pakatan Harapan semalam. Oleh itu, jangan sesekali terpedaya dengan mereka,” katanya ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-63 di sini, hari ini.

Liow turut menggesa semua anggota parti untuk bekerja keras bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 untuk menebus kekalahan lalu.

“Semua perwakilan harus balik ke bahagian dan cawangan masing-masing untuk mengumpulkan anggota bagi melakukan persediaan rapi dan menguatkan parti.

“Inilah masanya bagi kita melatih anggota-anggota supaya memberikan khidmat terbaik kepada rakyat seterusnya dapat meraih sokongan kembali daripada mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mencadangkan supaya bakal calon PRU-14 menubuhkan “call centre” di kawasan masing-masing bagi mendekatkan diri dengan pengundi.

“Jika sebelum ini hanya ada “call centre” di peringkat pusat, namun taliannya sentiasa sibuk disebabkan terlalu banyak panggilan. Dengan adanya ‘call centre’ bakal calon dapat berinteraksi sendiri dengan anggota parti dan pengundi kawasan masing-masing,” katanya.

Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon pula menyeru anggota parti supaya berfikiran positif dalam isu peruntukan pendidikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Katanya jika anggota atau perwakilan sentiasa tidak berpuas hati terhadap peruntukan yang diberikan, ia seolah-olah memperlihatkan parti itu tidak berterima kasih terhadap bantuan itu.

“Sebenarnya peruntukan yang diberi setiap tahun kepada SJKC telah banyak membantu daripada segi pengubahsuaian fizikal sekolah dan pembinaan blok baharu bagi menampung bilangan murid yang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Liow ketika ditemui pemberita berkata AGM kali ini buat julung kali diadakan selama dua hari berturut-turut berbanding sehari sebelum ini.

Katanya ia bagi memberi lebih banyak peluang perwakilan untuk berkongsi idea dan menyatakan pendapat mereka terhadap transformasi parti dan negara.

“Konsep dua hari AGM ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.