Kiriman pada: Sat, Nov 14th, 2015

Jangan Terpengaruh Fitnah Terhadap Agensi Berteraskan Islam

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI TENGKU ADNAN TENGKU MANSORPutrajaya – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan masyarakat supaya jangan mudah terpengaruh dan keliru dengan usaha pihak tertentu memburukkan organisasi atau agensi berteraskan Islam.

Beliau berkata tindakan itu menunjukkan ada pihak yang tidak senang dengan usaha kerajaan memperkasa institusi berteraskan Islam yang dilaksanakan melalui agensi berkaitan.

Katanya dalam era ini, dakwaan atau fitnah mudah tersebar menerusi jaringan media sosial dan rakyat perlu bijak menilai dan menapis setiap maklumat yang diterima terutamanya yang berbaur fitnah.

“Contoh terkini ialah mereka menyebarkan dakwaan tentang seorang menteri agama (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom) menggunakan dana hasil sumbangan rakyat atau duit anak yatim untuk perbelanjaan di luar negara.

“Bagaimanapun dakwaan itu telah dinafikan Datuk Seri Jamil Khir, malah beliau sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan fitnah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Zakat 2015 anjuran Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Putra.

Semalam, Jamil Khir dalam kenyataan, menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara dan menyifatkan tuduhan Pengarah NOW (National Oversight and Whistleblowers) Akmal Nasir sebagai kenyataan jahat berupa fitnah serta menyimpang daripada fakta sebenar.

Akmal Nasir dan The Malaysian Insider yang melaporkan kenyataan itu juga digesa menarik balik dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

Tengku Adnan berkata sebagaimana urusan pengumpulan dan agihan zakat secara profesional yang dijalankan PPZ-MAIWP, beliau percaya setiap pegawai atau kakitangan agensi berkaitan Islam yang lain juga sedar mengenai tanggungjawab dan amanah terhadap tugasan yang dilakukan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.