Kiriman pada: Thu, Jan 26th, 2017

Jawatan TPM Tiada Dalam Perlembagaan

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut secara jelas kewujudan jawatan Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya pelantikan untuk jawatan itu adalah di bawah budi bicara Yang di-Pertuan Agong atas cadangan Perdana Menteri.

Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata jawatan berkenaan hanya ada dalam Seksyen 6(1)(b) Akta Anggota Parlimen (Saraan) 1980, yang menyebut mengenai elaun Timbalan Perdana Menteri.

Kewujudan jawatan itu berdasarkan amalan konvensyen, iaitu antara satu asas Perlembagaan, berdasarkan sistem yang telah diamalkan sekian lama di negara ini.

“Tambahan pula, dari sudut praktikal, jawatan Timbalan Perdana Menteri ini dianggap sangat penting kerana pemegang jawatan itu dianggap sebagai orang yang paling kanan untuk memimpin negara jika berlaku sesuatu di luar jangkaan kepada Perdana Menteri.

“Oleh kerana ia tidak ada dalam Perlembagaan, maka terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri sama ada ingin mewujudkan jawatan itu atau tidak. Bahkan kerajaan juga boleh mewujudkan lebih daripada satu jawatan Timbalan Perdana Menteri,” katanya mengulas mengenai kedudukan jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam Perlembagaan Negara.

Kelmarin, dilaporkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, menyatakan tidak salah untuk beliau meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana perkara itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

Kenyataan pemimpin de facto DAP itu berikutan pendedahan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa memang pemimpin de facto DAP yang juga Ketua Ahli Parlimen DAP itu mahukan jawatan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.