Kiriman pada: Sun, Aug 2nd, 2015

Jemaah Tetap Hanya Bayar RM9,980 Walaupun Kos Haji Musim Ini RM17,270

Kongsi maklumat ini
Tags

TENGKU SULAIMAN SHAHShah Alam – Lembaga Tabung Haji (TH) masih mengekalkan kos mengerjakan haji kepada para jemaah pada kadar RM9,980 tahun ini walaupun kos sebenar telah meningkat kepada RM17,270.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail berkata peningkatan kos haji pada musim kali ini juga bererti Tabung Haji perlu meningkatkan tanggungan kos untuk setiap jemaah kepada RM7,290 bagi mencukupkan kos itu.

Pada musim haji yang lepas, Tabung Haji membayar tambahan RM6,175 untuk setiap seorang jemaah berbanding kos haji sebenar sebanyak RM16,155.

“Peningkatan kos haji pada tahun ini paling ketara disebabkan peningkatan kos penginapan para jemaah. Seperti kita sedia maklum kadar bayaran bagi hotel yang terletak berhampiran dengan Masjidil Haram adalah mahal.

“Bagaimanapun, TH akan sedaya-upaya menempatkan jemaah haji Malaysia di kawasan penginapan yang jaraknya kurang dari satu kilometer,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Selangor di Masjid Negeri.

Acara itu disempurnakan Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah.

Kira-kira 3,500 bakal haji dari Selangor menyertai kursus itu yang berlangsung sejak semalam.

Mengulas mengenai kuota haji pada tahun ini, Ismee berkata ia kekal pada jumlah 22,230 jemaah seperti tahun lepas dan kuota itu dijangka kembali kepada jumlah asal 27,900 pada tahun hadapan apabila kerja-kerja pembangunan di tanah suci itu siap sepenuhnya.

Bagi musim haji kali ini, Ismee berkata kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan diterbangkan ke Arab Saudi mulai 16 Ogos ini dan penerbangan terakhir adalah pada 16 Sept.

Penerbangan pulang jemaah haji ke Malaysia pula ialah mulai 29 Sept sehingga 27 Okt.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.