Kiriman pada: Tue, Jan 31st, 2017

Jentera UMNO, BN Jangan Leka

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak berpesan kepada semua jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar tidak leka atau ambil mudah kerja masing-masing.

Perdana Menteri mengingatkan agar semua jentera parti perlu sentiasa fokus kepada penyampaian, menunaikan janji, meluangkan masa bertemu dan mendengar denyutan nadi rakyat untuk mengetahui hasrat dan keperluan mereka.

“Saya harap bahagian atau cawangan UMNO akan meningkatkan lagi gerak kerja, selesaikan perselisihan yang boleh memudaratkan parti. Gunakan persidangan cawangan dan bahagian sebagai landasan bagi bincang dan selesai masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Kita harus sentiasa bersedia dan berusaha memastikan jentera kita terus mantap untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara,” katanya dalam catatan terkini dalam laman blog rasmi beliau www.najibrazak.com hari ini.

Presiden UMNO itu menjelaskan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Jumaat lepas telah menetapkan tarikh persidangan UMNO cawangan dan perwakilan bahagian pada tahun ini dibuat lebih awal.

Katanya tarikh mesyuarat UMNO cawangan ditetapkan antara 17 Mac hingga 30 April manakala persidangan perwakilan bahagian antara 7 Julai dan 26 Ogos.

“Saya jelaskan kita tidak harus membuat andaian dan spekulasi bahawa tarikh awal persidangan tahun ini merupakan petunjuk kepada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Tiada yang luar biasa bagi persidangan tahunan diadakan pada awal tahun mahupun akhir tahun. Kita awalkan tarikhnya kerana tahun ini terdapat banyak acara seperti temasya Sukan SEA dan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada bulan Jun, Insya-Allah,” jelasnya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.