Kiriman pada: Mon, Mar 16th, 2015

Jepun Ulangi Minat Dalam Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura

Kongsi maklumat ini
Tags

TAN SRI MUHYIDDIN YASSINSendai – Jepun mengulangi minat untuk terlibat sama dalam projek kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur-Singapura, yang merupakan projek pertama di Asia Tenggara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hasrat Jepun itu dinyatakan Perdana Menteri, Shinzo Abe kepada Muhyiddin sewaktu pertemuan kedua-kedua pemimpin itu pada Persidangan Dunia Mengenai Pengurangan Risiko Bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kali ketiga.

Muhyiddin berkata sistem kereta api laju Jepun atau Shinkansen diakui memang menarik tetapi ada beberapa perkara lain turut diberikan pertimbangan dalam mengusahakan projek rel antara Kuala Lumpur-Singapura.

“Kita agak tertarik dengan teknologi Shinkansen yang berusia lebih 50 tahun. Diuruskan dengan cekap, teknologi canggih, pengalaman banyak. paling penting keselamatan, ikut rekod belum ada kes kematian, atau kemalangan sepanjang tempoh pengurusan sistem, memang selesa.

“Pasti latar belakang ini yang perlu diambi kira untuk kita buat penilaian mana yang sesuai. Yang penting dalam soal ini bukan hanya faedah penggunaan sistem tetapi teknologi itu mesti dipindahkan ke Malaysia,” katanya kepada wartawan Malaysia.

Beliau telah memaklumkan kepada Abe bahawa projek itu telah berada pada peringkat penelitian halus oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dan agensi-agensi terlibat.

“Keputusan Jemaah Menteri adalah projek ini diterajui swasta dengan beberapa tanggungjawab dilaksanakan kerajaan kedua-dua negara khsusunya pengambilan tanah dan bayaran ganti rugi.

Ketika ini tender masih belum dibuka tetapi beliau yakin ia akan menarik minat banyak pihak.

Pada 2013, Singapura dan Malaysia bersetuju untuk membina landasan kereta api laju menjelang 2020 yang akan mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur kepada 90 minit.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.