Kiriman pada: Tue, Feb 21st, 2017

Jika RUU355 Dibentang Di DUN Selangor

Kongsi maklumat ini
Tags

Sabtu lepas, lebih 100 ribu orang hadir berhimpun di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, rata-ratanya dari UMNO dan PAS – hadir atas satu objektif yang sama : Menyokong usul Hadi Awang untuk meminda rang undang-undang akta 355 berkaitan mahkamah syariah (RUU355).

Perhimpunan ini juga boleh dianggap sebagai ulangan kejayaan himpunan solidariti untuk Rohingya yang berlangsung hujung tahun lepas di Stadium Tititwangsa yang turut melibatkan gabungan PAS dan UMNO. Puluhan ribu hadir himpunan tersebut.

Di Selangor, satu forum penerangan RUU355 turut diadakan sehari selepas himpunan di Padang Merbok. Jika program di Padang Merbok dianjurkan oleh PAS, forum ini pula dianjurkan oleh UMNO Paya Jaras dengan ahli panelnya terdiri daripada dua orang kuat UMNO dan PAS iaitu Dato’ Seri Jamil Khir dan Ustaz Nasruddin Hassan. Forum yang diadakan di Masjid Paya Jaras ini berjaya mengumpul lebih 1000 orang yang terdiri daripada penyokong-penyokong UMNO dan PAS.

Namun, entah di mana silapnya, baik himpunan di Padang Merbok mahupun forum di Paya Jaras, kedua-dua program penting ini gagal menarik perhatian dan sokongan daripada kepimpinan utama PAS Selangor. Ramai yang tertanya-tanya. Adakah PAS Selangor tidak menyokong usul Presiden mereka sendiri? Adakah PAS Selangor tidak menyokong usul ini tatkala umat Islam di Malaysia semakin terbuka menyatakan sokongan masing-masing?

Jika perkembangan ini dijadikan kayu ukur untuk kita menilai kesungguhan PAS Selangor memperjuangkan pindaan akta ini, maka kesimpulannya mudah sahaja iaitu PAS Selangor tidak sanggup kehilangan pangkat dan kemewahan yang dinikmati hasil daripada ‘hubungan baik’ dengan kerajaan negeri yang didominasi oleh DAP dan PKR.

Masakan tidak, ada pemimpin PAS Selangor yang juga Exco Kerajaan Negeri pernah berkata, “kami selesa bekerjasama dengan PKR di Selangor” ketika PAS Pusat telah pun memutuskan hubungan dengan kedua-dua parti sosialis liberal tersebut.

Jika beginilah situasinya, maka umat Islam Selangor boleh lupakan sahajalah segala harapan untuk melihat RUU355 yang lebih kukuh dan utuh diperkasakan di negeri ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.