Kiriman pada: Fri, Mar 27th, 2015

Johor Giat Didik Rakyat Sisih Sampah Sebelum September

Kongsi maklumat ini
Tags

SAMPAHJohor Bharu – Hanya tinggal lima bulan lagi sebelum kerajaan melaksana dan mewajibkan pengasingan sisa pepejal isi rumah secara berperingkat, selaras dengan usaha memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam negeri Johor (PPSPPA), Asri Amat berkata pelaksanaan penyisihan sisa bermula daripada punca (sampah di rumah) dijangka dipergiatkan melalui gerakan komuniti setiap daerah di negeri ini.

“Dijangka 50 komuniti daripada 10 cawangan daerah seluruh Johor akan terlibat dalam program ini yang mana mereka akan diajar cara yang betul membuat pengasingan sampah,” katanya.

Pemberitahuan setiap rumah adalah agak mustahil, oleh itu penyebaran maklumat secara berperingkat kepada penduduk melalui komuniti lebih sesuai dengan taklimat dan tunjuk ajar mengenai cara pengasingan sampah perlu dibuat.

Pengasingan sampah ini memudahkan pihaknya menjalankan kerja pemungutan iaitu dilakukan sekali setiap minggu untuk sampah (yang diasingkan) termasuk sisa pukal (sisa perabot dan kebun) manakala sisa domestik (restoran) dilakukan dua kali seminggu.

Pelaksanaan program ini tidak menghadapi masalah kerana sudah ramai penduduk negeri ini mengasingkan sampah, misalnya kewujudan lori bergerak yang membeli surat khabar lama untuk kitar semula.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Latif Bandi berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan itu kerana sejajar dengan program yang bakal dilancar di negeri ini iaitu “Johor Bersih dan Lestari”.

“Tindakan tersebut dapat mendisiplinkan rakyat, selaras dengan usaha kerajaan negeri ke arah menjadikan Johor, negeri yang bersih dan lestari,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat mengakui akan ada cabaran dalam melaksanakannya terutama kerana sikap, persepsi dan disiplin masyarakat.

Kerajaan perlu tegas dalam melaksanakannya mengikut jadual yang telah ditetapkan bagi memastikan objektif kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan aturan pengasingan sisa pepejal isi rumah secara mandatori mulai September.

Bagi mereka yang ingkar, kompaun RM1,000 akan dikenakan.

Selain Johor, negeri yang akan melaksanakan aturan ini adalah Pahang, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.