Kiriman pada: Mon, Jan 11th, 2016

JPJ Akan Terus Sita Kenderaan Sapu

Kongsi maklumat ini
Tags

mgcjAlor Setar – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan tegas menyita ‘kenderaan sapu’ terutama di kawasan sempadan bagi mengelak aktiviti itu daripada berleluasa.

Pengarah Penguat Kuasa JPJ Datuk V. Valluvan Veloo berkata pihaknya telah mengesan aktiviti itu di kawasan sempadan yang mana pemilik dan pemandu kenderaan telah melanggar syarat permit pengedaran antarabangsa yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Sebelum ini, kita menahan kenderaan terbabit dan pemilik atau pemandu perlu membuat pembayaran kompaun sebelum dilepaskan. Tetapi selepas ini kita akan terus menyita kenderaan supaya mereka sedar JPJ serius membanteras aktiviti ini.

“Selain itu, kita juga akan melaksanakan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di mana semua kenderaan asing yang masuk ke negara ini perlu didaftarkan bagi membolehkan JPJ mengawasi pergerakannya. Pelaksanaan VEP itu dilihat dapat mengurangkan jumlah pelanggaran undang-undang negara,” katanya hari ini.

Beliau yang ditemui selepas Program Taklimat JPJ di sini berkata dalam operasi khas di sempadan Kedah-Thailand pada Jumaat lalu hingga pagi ini, pihaknya telah menahan 24 van dari negara jiran di sekitar Alor Setar, Gurun dan Changlun yang membawa masuk dan keluar penumpang ke negara ini secara haram.

Sementara itu, Valluvan berkata Skuad Khas yang ditubuhkan awal tahun ini bagi mengesan kenderaan klon telah berjaya menahan 21 kenderaan pelbagai model sepanjang tempoh empat hari operasi khas yang dijalankan di Kedah.

“Semua kenderaan itu ditahan di sekitar Sungai Petani dan Kulim membabitkan anggaran nilai RM420,000. Bagi tangkapan seluruh negara bermula 1 Jan sehingga hari ini, sebanyak 100 kenderaan dengan nilai RM2 juta ditahan Skuad Khas ini.

“Saya nasihatkan orang ramai yang ingin membeli atau telah memiliki kenderaan klon untuk membuat pemeriksaan di mana-mana pejabat JPJ bagi memastikan pendaftaran kenderaan yang mereka miliki itu wujud bagi mengelak daripada ditahan penguat kuasa,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.