Kiriman pada: Wed, Feb 8th, 2017

Kabinet Bincang Kerugian RM44 Bilion BNM

Kongsi maklumat ini
Tags

Putrajaya – Kabinet akan berbincang sekali lagi minggu depan sama ada menyiasat semula dakwaan Bank Negara Malaysia (BNM) mencatat kerugian RM44 bilion (AS$10 bilion) melalui kegiatan perdagangan mata wang pada awal 1990-an.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengesahkan perkara itu dibangkitkan pada mesyuarat jemaah menteri, hari ini antara lain mengenai keperluan mendapat kepastian sama ada berlaku usaha untuk menutup skandal itu oleh seseorang.

Kabinet mengambil maklum mengenai kehilangan wang negara melalui jual beli mata wang asing seperti mana diperakui BNM dan Gabenor ketika itu, tetapi apa yang perlu dirungkaikan adalah kemungkinan kerugian sebenar lebih besar daripada apa yang dilaporkan.

“Kabinet mahu mencari cara terbaik dalam usaha mendapat gambaran lebih jelas sama ada wujud dalang yang menyembunyikan fakta sebenar berhubung kerugian besar dialami BNM.

“Apa yang menjadi persoalan ketika ini ialah sama ada kerugian itu adalah seperti mana dilaporkan atau lebih besar daripada apa yang dinyatakan oleh bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid baru-baru ini.

“Apa yang perlu difikirkan juga sama ada kita perlu melihat semula kes ini dan mendapat kepastian sama ada berlaku satu ‘cover up’ atau usaha menutup kes itu dan jika sekiranya ada ‘cover up’, siapa yang terlibat dan siapa yang mengarahkannya… itu persoalan penting yang perlu kita dapat kepastian ketika ini,” katanya.

Khairy mengulas sama ada mesyuarat Kabinet hari ini membincangkan gesaan beberapa pihak supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian AS$10 bilion yang dialami BNM ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Baru-baru ini, Abdul Murad mendedahkan BNM pada 1991 hingga 1993 terbabit dalam perdagangan spekulasi mata wang antarabangsa yang berisiko tinggi sehingga menyebabkan kerugian lebih daripada jumlah yang dilaporkan.

Isnin lalu, Pemuda UMNO turut mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat pendedahan Abdul Murad itu. Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun, berkata RCI perlu bagi mengenal pasti sama ada kerugian itu menyebabkan bank pusat berkenaan muflis dan jika ada usaha pihak tertentu menyembunyikan fakta mengenainya.

Khairy yang juga Ketua Pemuda, berkata desakan itu perlu diteliti kerana skandal berkenaan berlaku lebih 20 tahun yang lalu dan membabitkan individu yang sudah tiada.

“Kita kena ingat bahawa ada individu yang sudah tiada seperti bekas Gabenor BNM, Tan Sri Jaafar Hussein yang sudah meninggal dunia.

“Sebab itu, Kabinet akan berbincang sekali lagi minggu depan bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Musim Sejuk di Sapporo, Jepun.

Khairy mengakui perkara itu perlu diberi perhatian kerana skandal berkenaan adalah antara kehilangan terbesar pernah berlaku dalam sejarah sebuah bank pusat.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.