Kiriman pada: Thu, Jan 19th, 2017

Kabinet Sarawak Kekal

Kongsi maklumat ini
Tags

Petra Jaya – Barisan Kabinet Sarawak yang kekal dengan portfolio masing-masing mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, di sini sebentar tadi.

Majlis angkat sumpah di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), adalah sebahagian prosedur susulan pelantikan Ketua Menteri Sarawak yang baharu, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, 13 Januari lalu, berikutan kematian Tan Sri Adenan Satem akibat komplikasi jantung minggu lalu.

Tiada sebarang rombakan dilakukan dalam barisan Kabinet, dengan semua portfolio dikekalkan bagi menghormati Allahyarham Adenan, Abang Abdul Rahman Zohari dijangka mengadakan sidang media selepas ini.

Difahamkan, rombakan Kabinet Sarawak berkemungkinan berlaku selepas 100 hari pentadbiran baharu Abdul Rahman Zohari atau lebih dikenali sebagai Abang Jo.

Dalam pada itu, kekosongan jawatan Timbalan Ketua Menteri III tidak diisi walaupun sebelum ini Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, disebut-sebut mengisi jawatan berkenaan.

Ia sekali gus menyaksikan Timbalan Ketua Menteri sedia ada kekal disandang Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Tan Sri James Jemut Masing, selaku Timbalan Ketua Menteri II.

Jawatan Timbalan Ketua Menteri III kosong selepas penyandangnya, Abdul Rahman Zohari dilantik menjadi Ketua Menteri, pada 13 Januari lalu, berikutan kematian Adenan.

Mengetuai istiadat angkat sumpah tadi ialah dua timbalan ketua menteri, Douglas dan Masing. Ia diikuti barisan menteri kanan diketuai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkap Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan.

Turut mengangkat sumpah ialah Menteri Kemudahan Awam Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom; Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah dan Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.