Kiriman pada: Sat, Jan 9th, 2016

Kajian Penggunaan Vape Dibentang Ke Kabinet Akhir Januari

Kongsi maklumat ini
Tags

image (4)Larut – Keputusan kajian mengenai penggunaan peranti dan perisa cecair untuk rokok elektronik atau vape akan dibentang kepada kabinet akhir bulan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata kajian itu antara lain bertujuan mengetahui sejauh mana wap dari vape boleh menjejaskan kesihatan selain menentukan spesifikasi yang perlu dipatuhi oleh pengeluar.

“Sekiranya mahu penggunaan vape kekal di negara ini, pengguna dan penjual vape perlu memenuhi prosedur dan kriteria yang akan ditetapkan.

“Saya sedar banyak negeri telah mengeluarkan fatwa mengharamkan vape kerana mereka merasakan vape itu sesuatu yang boleh menjadikan seseorang individu mendapat penyakit tertentu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program minum petang bersama Wanita UMNO Larut di Batu 20.

Hamzah yang juga Anggota Parlimen Larut menarik perhatian apabila berkata setakat ini belum ada kajian sama ada dari dalam atau luar negara yang dapat membuktikan penggunaan vape boleh mendatangkan keburukan.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata apabila peraturan mengenai penggunaan vape diwujudkan kelak ia akan memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pihak yang menyalahgunakannya.

“Apabila ada undang-undang, maka mudah untuk kita ambil tindakan kerana bila tidak ada undang-undang apa sahaja kesalahan yang dibuat kita belum ada akta yang boleh ambil tindakan.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.