Kiriman pada: Wed, Feb 1st, 2017

Kak Milah Calon BN PRK Tanjong Datu

Kongsi maklumat ini
Tags

Petrajaya – Balu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Puan Sri Jamilah Anu, 62, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, 18 Februari ini.

Nama Jamilah diumumkan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, selepas mempengerusikan mesyuarat khas majlis tertinggi parti itu di Ibu Pejabat BN Sarawak, Jalan Bako di sini jam 3.45 petang tadi.

Abang Johari yang juga Pengerusi BN Sarawak, berkata pemilihan itu dipersetujui sebulat suara oleh pucuk pimpinan PBB selain parti komponen BN Sarawak dan rakyat di peringkat akar umbi.

Malah, sekumpulan pemimpin masyarakat, termasuk Ahli Jawatankuasa PBB Tanjong Datu, turut serta dalam mesyuarat khas itu bagi mendapatkan pandangan akar umbi terhadap calon dipilih.

“Ia juga sebagai satu penghormatan terhadap sumbangan besar Adenan atau lebih dikenali sebagai Tok Nan, sekali gus menyambung legasi kepemimpinan Allahyarham, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu,” katanya.

Lebih gemar membahasakan dirinya sebagai Kak Milah, beliau memiliki kriteria utama sebagai ‘calon boleh menang’ bagi BN dalam PRK Tanjong Datu kerana cukup disenangi rakyat peringkat akar umbi, selain memiliki aura suaminya.

“Wajah Jamilah tidak asing di DUN Tanjong Datu, malah seperti suaminya yang bersikap sederhana, beliau cukup disenangi rakyat di peringkat akar umbi.

“Biarpun tidak terbabit secara aktif dalam politik, namun beliau banyak mengiringi suaminya ‘turun padang’ bertemu rakyat ketika Allahyarham mewakili DUN Muara Tuang, Parlimen Batang Sadong hinggalah DUN Tanjong Datu,” katanya.

Beliau berkata, keputusan pemilihan itu turut mendapat ‘restu’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN Pusat.

Kerusi DUN Tanjong Datu kosong susulan kematian Tok Nan di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan akibat komplikasi jantung, 11 Januari lalu, empat hari selepas dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan untuk pemeriksaan rutin.

Tok Nan `berhijrah’ dari DUN Muara Tuang ke DUN Tanjong Datu susulan proses persempadanan semula sempena Pilihan Raya Negeri Ke-9 (PRN-9), selain didorong iltizam kuatnya bagi membawa pembangunan ke kawasan luar bandar itu.

Dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), 7 Mei tahun lalu, Allahyarham mengekalkan penguasaan di kerusi berkenaan, yang juga `kubu kuat’ BN Sarawak, dengan memperoleh majoriti 5,892 undi, menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan.

Ditanya mengenai persiapan jentera pilihan raya, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak, berkata PBB dan BN Sarawak sudah bersiap sedia menggerakkan jenteranya.

“Kita sedia maklum beliau (Jamilah) masih dalam tempoh ‘edah’ susulan kematian suaminya.

Kita akan membantu beliau berkempen dan memastikan penguasaan BN kekal di Tanjong Datu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengumumkan manifesto BN bagi PRK Tanjong Datu, lebih-lebih lagi mempunyai tempoh yang panjang untuk berkempen.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.